
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Mohd Hafiz Aziz (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 18 Feb (MalaysiaAktif) – Dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat, Komuniti Buluh Gading hari ini mengambil inisiatif menganjurkan aktiviti mendaki Bukit Tok Salai yang berjaya menarik penyertaan aktif daripada penduduk setempat.
Selain mempromosikan kecergasan, acara ini juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan kesedaran ekosistem alam semula jadi.

Muhammad Hanafi (duduk kiri), teruja gembira menyertai aktiviti ini bersama rakan-rakan.
Acara dimulakan seawal pukul 7 pagi dengan peserta melalui laluan sejauh tiga kilometer menuju puncak Bukit Tok Salai yang menawarkan pemandangan menakjubkan kawasan Sungai Nerus.
Sepanjang perjalanan, para pendaki diberi taklimat mendalam mengenai flora dan fauna sekitar bukit oleh pemandu pendakian berpengalaman.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Buit Berangan Mohd Hafiz Aziz, berkata aktiviti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal, tetapi juga membuka peluang kepada peserta untuk menikmati keindahan alam sambil menanamkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
“Kami berharap acara ini akan menjadi program berkala yang dapat memberi impak bukan hanya pada kecergasan tubuh badan tetapi juga sebagai platform untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat serta menumbuhkan rasa tanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Para peserta bergambar kenangan.
Bagi peserta Muhammad Hanafi Hassan, 45, yang pertama kali menyertai aktiviti mendaki, meluahkan rasa teruja dan seronok dapat beraktiviti bersama komuniti.
“Ini pengalaman yang sangat menyeronokkan dan saya berharap acara seperti ini dapat diteruskan pada masa depan,” ujarnya.
Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada pihak berkuasa tempatan dan komuniti Sungai Nerus merancang untuk menjadikannya sebagai salah satu program berkala yang berpotensi menjadi tarikan ekopelancongan di daerah Kuala Nerus.
Selain mendaki, peserta turut mengambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong membersihkan laluan pendakian bagi memastikan kebersihan dan keindahan Bukit Tok Salai terus terjaga demi generasi akan datang.
-ZS-