
Laporan/foto: Iswandi Kassim/Fakri Zafran (Sarawak)
SRI AMAN, 19 Feb (MalaysiaAktif) – Laungan bersejarah “Oh Ha! Oh Ha! Oh Ha!” yang dahulunya kedengaran setiap hari di Kubu Alice, menandakan jam telah masuk pukul 8.00 malam dan berakhirnya urusan rasmi di kubu tersebut, kini hanya tinggal kenangan.
Namun, gema sejarah itu terus hidup melalui Muzium Warisan Sri Aman (Kubu Alice) yang kini dibuka semula kepada orang ramai sebagai simbol warisan penting di Sarawak.
Kubu Alice yang terletak megah di atas sebuah bukit di tepi Sungai Batang Lupar, Bandar Sri Aman, Sarawak, merupakan salah satu bangunan bersejarah tertua di negeri ini.

Meriam yang menghala ke sungai Batang Lupar.
Dibina pada tahun 1864 oleh Sir Charles Brooke, Rajah Brooke kedua, kubu ini berperanan penting sebagai pejabat kerajaan kolonial ketika itu.
Dinamakan sempena nama isteri Rajah Brooke, Lady Alice Brooke, reka bentuk bangunan ini mencerminkan seni bina kolonial dengan struktur pertahanan yang kukuh.
Dinding tebal, pintu pagar besar, menara tinjau di kedua-dua sisi bangunan, serta meriam-meriam besar yang tersusun mengelilingi kawasan kubu menunjukkan fungsinya sebagai benteng pertahanan strategik.
Kedudukannya yang tinggi membolehkan pihak pentadbiran kolonial memantau pergerakan di sepanjang Sungai Batang Lupar, yang merupakan laluan penting perdagangan dan komunikasi pada masa itu.
Pada 10 Februari 1971, Kubu Alice diisytiharkan sebagai bangunan bersejarah dan walaupun pernah mengalami fasa terbengkalai, usaha pemuliharaan dan pemeliharaan telah dilakukan untuk memastikan struktur ini kekal sebagai mercu tanda warisan yang bernilai tinggi kepada generasi akan datang.
Menurut seorang kakitangan awam di sini, Fakhri Zhafran, 37, bersama rakan strategik beliau dari Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman Suaidie Yusup, 41, telah mengadakan lawatan ke Muzium Warisan Sri Aman bertujuan bertujuan meninjau perkembangan pemuliharaan serta melihat sendiri keunikan warisan sejarah yang terdapat di Kubu Alice.
“Muzium ini kini menjadi tarikan utama di Sri Aman, menempatkan pelbagai artifak sejarah, dokumen penting zaman kolonial dan pameran interaktif yang memberi pendedahan kepada generasi muda tentang sejarah tempatan.
“Para pengunjung juga boleh menghayati kisah silam melalui pameran bertema yang memaparkan era pemerintahan Brooke, peranan Kubu Alice dalam sistem pentadbiran serta kehidupan masyarakat setempat pada zaman tersebut,” kata seorang kakitangan awam Fakhri, 37, di sini semalam.
Menurut Suadie, selain menjadi pusat pameran sejarah, lokasi strategik Kubu Alice menawarkan pemandangan menakjubkan Sungai Batang Lupar yang terkenal dengan fenomena benak (ombak besar pasang surut).

Menara tinjau di kedua-dua kiri dan kanan Kubu Alice menunjukkan fungsinya sebagai benteng pertahanan strategik suatu ketika dahulu.
“Ini menjadikan kunjungan ke muzium bukan sahaja pengalaman bersejarah tetapi juga peluang menikmati keindahan alam semula jadi yang menenangkan,” katanya.
Sementara itu menurut pembantu galeri yang bertugas di Muzium tersebut Sopoin Dony, 29, setiap hari mereka menerima lebih kurang 50 hingga 100 orang pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat dan jumlah tersebut akan bertambah setiap kali musim cuti persekolahan atau perayaan.
“Muzium ini dibuka pada hari Selasa hingga Jumaat pada pukul 9.00 pagi hingga 4.45 petang manakala pada hari Sabtu dan Ahad dibuka pada pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang serta ditutup pada hari Isnin.
“Kemasukan ke muzium ini adalah percuma, memberikan peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk menghargai warisan budaya dan sejarah Sarawak tanpa sebarang kos,” katanya.
Di dalam kubu Alice terdapat sejarah penubuhannya dan pelawat dapat mengetahui sendiri dengan membaca melalui jalan cerita yang disediakan atau boleh juga mendapatkan penerangan daripada petugas pada hari tersebut.
Muzium Warisan Sri Aman (Kubu Alice) bukan sekadar bangunan lama, tetapi ia adalah saksi bisu kepada perjalanan sejarah negeri Sarawak.
Dari zaman pemerintahan Rajah Brooke hingga era kemerdekaan, Kubu Alice terus berdiri megah, menyimpan seribu satu kisah yang menanti untuk diterokai.
-ZS-