
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan Johor melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) telah memfatwakan 22 ajaran sesat yang menyeleweng dan terpesong daripada ajaran Islam sejak tahun 1994.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid, berkata empat ajaran sesat masih belum diwartakan dan tiga fatwa daripada empat ajaran sesat akan diwartakan tahun ini.

Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) merupakan ajaran terbaharu yang dikesan di Johor dan dalam proses difatwakan sebagai ajaran sesat.
“Empat ajaran sesat berkenaan adalah Ajaran FahamanIrwan Bin Alias, Ajaran Qadiani, Ajaran The Ahmad Religion of Peace and Light dan terbaharu adalah Kajian Isu-Isu Akidah, Syariah dan Akhlak Tasawuf Dalam GISB Holding (GISBH),” katanya, di sin semalam.
Sementara itu Mohd Fared, berkata Kerajaan Johor akan menubuhkan Pusat Akademik Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) sebagai medium rujukan masyarakat bagi menyampaikan isu-isu ajaran yang menyeleweng daripada akidah dan tidak berteraskan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyah.
“RM14 juta juga telah diperuntukkan bagi penubuhan pusat akademik berkenaan yang akan dibina di Mukim Pulai, Johor Bahru,” katanya.
Tambah Mohd Fared, Kerajaan Johor sentiasa tegas dalam menangani isu-isu berkaitan ajaran sesat tanpa berkompromi bagi menjaga kesucian agama Islam sebagai agama rasmi demi menjaga kesejahteraan umat Islam.
-ZS-