
Laporan/foto: Mohd Zahairi/Mohd Hanif (Mersing)
MERSING, 5 Feb (MalaysiaAktif) – INSTO merupakan satu badan di bawah United Nations World Tourism Organization (UNWTO) yang berperanan sebagai pemerhati dan penilai bagi destinasi pelancongan lestari di dunia melalui pengumpulan data, analisis dan pelaporan yang berkaitan dengan impak sosial, ekonomi dan alam sekitar terhadap aktiviti pelancongan.
Sehingga Oktober 2024, 45 lokasi telah diiktiraf sebagai destinasi pelancongan lestari di seluruh dunia dan daerah Mersing bakal menjadi destinasi ke-46 dengan negara jiran Indonesia dan Filipina antara destinasi INSTO di Asia Tenggara.

Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah melancarkan aplikasi INSTO Mersing dengan harapan daerah ini diiktiraf sebagai destinasi pelancongan lestari yang terkenal seluruh dunia
Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah, berkata objektif bagi mendapatkan pengiktirafan INSTO adalah untuk memastikan daerah Mersing tidak hanya membangun dalam sektor pelancongan selain memastikan kelestarian alam tetap terpelihara untuk generasi akan datang.
“Dalam masa yang sama, dengan pengurusan pelancongan yang mampan, kesejahteraan komuniti tempatan turut dipelihara melalui peluang ekonomi, persekitaran yang bersih dan hubungan yang harmoni antara pelancong dan penduduk.
“Pengiktirafan ini juga dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tempatan tentang kepentingan memelihara alam sekitar, budaya dan warisan sambil menyokong industri pelancongan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Pegawai Daerah Mersing Serta Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Peringkat Daerah Mersing tahun 2025 bertempat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
Tambah Jamil Hasni, usaha ini tidak akan berjaya tanpa sokongan dan penglibatan pihak agensi kerajaan, sektor swasta, NGO serta komuniti tempatan.
“Kita hendaklah bersama-sama menjaga persekitaran kita, menghormati warisan budaya dan meningkatkan kesedaran tentang pelancongan mampan dalam kalangan masyarakat,“ ujarnya.
-AA-