
Laporan/foto: Memi Yusoff/Syafiq Saleh (Selangor)
TANJONG KARANG, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Penyelarasan semula harga lantai belian padi pada kadar RM1,500 per tan metrik berkuat kuasa 16 Februari ini mampu meningkatkan pendapatan dan mengimbangi beban kos operasi yang ditanggung pesawah.
Menurut Ketua Kampung Seri Gambut, Sungai Burong yang juga seorang pesawah, Ehsan Sobron, 59, penyelarasan harga lantai padi ini dilihat sebagai kesungguhan kerajaan untuk membantu meningkatkan pendapatan pesawah selepas hampir sedekad harga lantai belian padi tidak berubah.

Ehsan Sobron (kiri) bersama pesawah ketika ditemui di Kg Seri Gambut, Sungai Burong.
“Alhamdulillah sebenarnya banyak inisiatif kerajaan telah sediakan dari mula menanam hingga menuai macam-macam inisiatif ada, cuma yang kita selalu dengar rintihan petani berkenaan kenaikan harga input pertanian padi seperti racun dan baja, jadi memang tepatlah harga lantai ditingkatkan.
“Kerajaan juga memastikan langkah ini tidak membebankan rakyat dengan memperuntukkan subsidi sekitar RM150 juta kepada pengilang padi bagi mengekalkan harga jualan beras putih tempatan pada kadar RM2.60 sekilogram, menunjukkan satu pendekatan menyeluruh yang memastikan kesejahteraan pesawah terus terpelihara,” katanya ketika ditemui di sawahnya di Kampung Seri Gambut pada Khamis.
Sementara itu, pesawah, Mohd Yusof Darmawi, 65, berkata penglibatan beliau dalam mengusaha sawah padi sejak dari umur 24 tahun sehingga sekarang, penyelarasan tersebut dilihat bukan sahaja meningkat pendapatan dan kebajikan pesawah malah berpotensi meningkatkan kualiti beras tempatan.
“Satu langkah yang baik, dengan keuntungan yang diperolehi, pesawah boleh meningkatkan penggunaan baja berkualiti untuk memastikan hasil tuaian lebih bermutu,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan penyelarasan semula harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik, selain mengekalkan harga beras putih tempatan pada RM2.60 sekilogram dengan kerajaan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.
-ZS-