
Laporan/foto: Noor Sazarina (Petaling)
KOTA DAMANSARA, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Penduduk Kampung Melayu Subang memanfaatkan cuti hujung minggu dengan menyertai Program Fun Walk Jelajah Desa Kampung Melayu Subang yang diadakan di sini semalam.

Izuan Kasim melakukan pelepasan peserta Fun Walk Jelajah Desa Kampung Melayu Subang.
Seramai 500 orang peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai program berjalan kaki yang meliputi laluan tiga kilometer di sekitar Kampung Melayu Subang.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Kampung Melayu Subang Abdul Hamid Akuan, program ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan menyihatkan tubuh badan melalui aktiviti santai dan riadah.
“Penduduk Kampung Melayu Subang sentiasa memberikan sambutan yang baik dalam program-program yang dianjurkan melibatkan komuniti.
“Kerukunan penduduk dan semangat bekerjasama mengeratkan lagi silaturrahim disamping menyertai aktiviti riadah yang menyihatkan badan,” katanya dalam ucapan sempena program tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara Izuan Kasim dalam ucapan turut menyatakan sokongan terhadap program-program kemasyarakatan melibatkan komuniti setempat dan mengharapkan masyarakat sentiasa bergerak aktif dalam menyertai aktiviti-aktiviti melibatkan komuniti.

Antara peserta yang menyertai aktiviti senamrobik.
“Saya mengharapkan program melibatkan komuniti setempat sentiasa mendapat sambutan daripada masyarakat.
“Program-program santai sebegini perlu lebih kerap dilakukan bagi kesejahteraan dan kemuafakatan penduduk kampung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya dalam ucapan perasmian Program Fun Walk Jelajah Desa Kampung Melayu Subang.
Pelbagai aktiviti diadakan sempena program tersebut antaranya senamrobik, pameran agensi kerajaan dan swasta, pemeriksaan kesihatan, pembelian minyak masak terpakai dan cabutan bertuah.
-ZS-