Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Program NADI x Komuniti MADANI Perkasa Kemahiran ICT

By 16 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sharifah Fairuz/ Ahmad Faizal bin Jamil (Kinabatangan)

KINABATANGAN, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Program sulung Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) x Komuniti MADANI telah berlangsung dengan jayanya melibatkan penyertaan seramai 20 orang ahli komuniti di NADI Kota Kinabatangan.

Sharifah menyampaikan taklimat kepada peserta dari ahli Komuniti Madani terlibat semalam.

Penyertaan daripada enam komuniti MADANI daerah Kinabatangan ini dianjurkan bagi memperkasa ekonomi dan memberi ruang kepada komuniti untuk meningkatkan kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Pengerusi komuniti MADANI Pekan Bukit Garam, Norehsan Ensim,45, berkata program ini sangat penting bagi komuniti selain mempermudahkan kaedah penyampaian maklumat, dasar serta inisiatif terkini kerajaan dengan tepat serta pantas.

“Kami ini adalah ibarat duta kecil, Jabatan Penerangan (JAPEN), oleh itu sudah semestinya kami harus mempersiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran selain kemahiran berkomunikasi.

“Komuniti perlu juga didedahkan dengan kemahiran asas ICT dan penguasaan terhadap dunia pendigitalan untuk mempermudahkan tugas kami dalam menerima dan menyampaikan mesej-mesej, dasar serta inisiatif kerajaan masa kini,” katanya ketika ditemui dalam program NADI x Komuniti MADANI di sini semalam.

Noraziah ketika menyampaikan taklimat tentang pengenalan NADI dan perkhidmatan pintar kepada komuniti setempat semalam.

Menurut Pengurus NADI Kota Kinabatangan, Noraziah Abdul Aziz, kerjasama yang dibentuk merupakan salah satu cara memastikan masyarakat tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan.

“Kemudahan dan inisiatif NADI ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan kemahiran dan kualiti hidup melalui teknologi yang disediakan.

“Selain itu, program-program seperti ini perlu diteruskan dan diperkasakan sebaik mungkin, kerana ia bukan sahaja memberi kesedaran mengenai perkhidmatan kerajaan tetapi juga membuka peluang ekonomi baru kepada masyarakat,” ujarnya.

Sharifah merakam gambar bersama NADI Kota Kinabatangan dan wakil enam Komuniti Madani Daerah Kinabatangan.

Sebagai makluman, program NADI x komuniti MADANI merupakan salah satu inisiatif Perkhidmatan Pintar NADI di bawah program Inisiatif Kerajaan yang bertujuan untuk menyampaikan maklumat terkini berkaitan NADI dan inisiatif kerajaan.

Program ini melibatkan pelbagai aktiviti termasuk taklimat mengenai perkhidmatan NADI dan inisiatif kerajaan, sesi soal jawab bersama peserta dari enam komuniti MADANI iaitu Nusa Jaya, Pekan Bukit Garam, Sukau, Paris, dan Suan Lamba.

-RJ-

Tinggalkan komen anda