
Laporan/foto: Adelaidah Arshad / Mahader Lahairie / Mohd Shakir Salleh (Lahad Datu)
LAHAD DATU, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) x Komuniti Madani Sepagaya telah menganjurkan program kesedaran keselamatan dalam talian di samping mendedahkan komuniti dengan latihan kemahiran asas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Adelaidah, wakil JaPen Lahad Datu, memberi taklimat mengenai ancaman berita palsu dan jenayah siber.
Latihan ini bertujuan membantu peserta mengenal pasti serta mengelakkan ancaman dan membendung jenayah siber daripada semakin berleluasa yang sering kali menjadikan masyarakat tempatan sebagai sasaran.
Menurut Ketua Komuniti Madani Kampung Sepagaya, Hisham Abdul Karim, 49, pengguna media sosial perlu diberi pendedahan mengenai peranannya sebagai medium menyebarkan maklumat yang sahih sekali gus menjadi alat untuk membanteras penyebaran berita palsu.
“Latihan sebegini sangat penting kerana ia mengajar masyarakat cara melindungi diri daripada risiko keselamatan, seperti penggunaan kata laluan yang kukuh, pengesahan dua faktor serta cara mengenal pasti e-mel dan pautan mencurigakan.

Hisham(baju biru) bergambar bersama Arina (tengah), Penolong Pengurus NADI Sepagaya, bersama Adelaidah (hujung), wakil JAPEN Lahad Datu.
“Dengan memahami langkah keselamatan dalam penggunaan media sosial, kita dapat mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah siber,” katanya ketika ditemui di NADI Sepagaya pada Sabtu.
Beliau turut menegaskan bahawa latihan ini membantu membentuk budaya keselamatan siber dalam kalangan pengguna internet selain membantu mengelakkan kes jenayah siber berlaku.
“Pendidikan digital dan kerjasama antara individu, kerajaan, dan masyarakat juga menjadi kunci dalam usaha membanteras jenayah siber baik kepada individu atau komuniti.
“Sebagai contoh program kita ini juga melibatlan Komuniti Madani Kampung Sepagaya dan komuniti merupakan salah satu daripada sembilan komuniti yang ditubuhkan di daerah Lahad Datu,” ujarnya.
-RJ-