
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini
MARANG, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri (PPPN) Terengganu bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Cawangan Kecil Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan PUSPANITA Cawangan Kecil PPPN Terengganu menyantuni warga Asrama Anak Yatim Darul Falah, Bukit Payong dalam sebuah Program Ramah Mesra yang berlangsung, di sini kelmarin.

Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil ICU JPM bersama Ketua Pengarah ICU dan Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu Abd Kahar bin Latif menyampaikan sumbangan bag sekolah kepada anak yatim Asrama Darul Falah.
Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil ICU JPM Datuk Sri Noorhuda Alias, turut hadir untuk menyampaikan sumbangan Back to School berupa peralatan persekolahan dan beg sekolah kepada penghuni asrama sempena pembukaan penggal persekolahan 2025.
“Usaha ini bertujuan meringankan beban anak-anak yatim dan memastikan mereka dapat memulakan sesi akademik dengan penuh semangat serta kelengkapan yang mencukupi.
“Sumbangan ini diharapkan dapat menyuntik semangat serta memberi keceriaan kepada mereka dalam meneruskan perjalanan akademik dengan keyakinan,” katanya.
Menurutnya lagi, program tersebut adalah selari dengan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerajaan dalam memperkasa pembangunan negara menerusi sokongan berterusan kepada golongan yang memerlukan.
“Komitmen PUSPANITA adalah bagi memastikan golongan anak yatim mendapat peluang yang sama dalam pendidikan dan kehidupan,” katanya.

Antara penghuni Asrama Darul Falah gembira menerima sumbangan daripada PUSPANITA.
Sejak penubuhannya hampir enam dekad lalu, Asrama Anak Yatim Darul Falah telah memainkan peranan penting dalam menyediakan perlindungan dan pendidikan kepada anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan.
-ZS-