Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

SejaTi MADANI Tambah Kepakaran Tanaman Nanas Josha

By 19 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlin Basir (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 19 Feb (MalaysiaAktif) – Sebanyak 20 ribu pokok nanas Josha telah ditanam di tanah berkeluasan dua ekar dengan bantuan geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) bernilai RM100,000 oleh Komuniti MADANI Rengit Selatan secara berfasa, di sini.

Ketua Komuniti MADANI Rengit Selatan Mohd Yazid Bakri, berkata projek ini dipilih kerana kepakaran yang dimiliki oleh ahli-ahli komuniti dalam bidang tanaman dan penjagaan nanas.

Tanaman nanas Josha juga mempunyai masalah penyakit dipanggil ‘gas pokok’ dan ‘gas buah’ dan pokok nanas yang dijangkiti penyakit perlu dibuang dengan segera.

“Kami juga tidak mempunyai masalah mendapatkan pekerja kerana dalam komuniti ini sendiri sudah ada pekerja yang mahir dan boleh melakukan kerja-kerja berkaitan tanaman tropika dengan baik.

“Dari segi pemasaran, tanaman nanas Josha ini mudah dipasarkan berbanding jenis lain seperti nanas MB2 dan Morris dan pasarannya meluas hingga boleh dieksport ke Singapura,” katanya ketika ditemui di Kampung Seri Merlong Rengit, di sini semalam.

Tambah Mohd Yazid, penanaman pokok nanas juga mempunyai cabarannya sendiri seperti masalah penyakit pokok yang dipanggil gas pokok dan gas buah yang berpunca dari tanah seterusnya merebak ke pokok dan buah.

“Harapan saya projek SejaTi MADANI ini perlu diteruskan dan diperbanyakkan lagi kerana ia memberi impak yang besar kepada masyarakat dan mampu membantu rakyat untuk menambah pendapatan,” katanya.

Tanaman nanas Josha yang dikendalikan oleh Komuniti MADANI Rengit Selatan, Batu Pahat ditanam mengikut fasa dan kini sudah memasuki fasa ketiga dengan jumlah pokok nanas mencecah 20 ribu batang.

Mohd Yazid juga berterima kasih kepada pihak Kerajaan MADANI dan berharap projek tanaman nanas Josha oleh Komuniti MADANI Rengit Selatan ini berjaya dan hasilnya dapat disalurkan kepada masyarakat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda