Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

SKAS Ringankan Beban Rakyat Sarawak

By 21 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 21 Feb (MalaysiaAktif) – Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak merupakan inisiatif bantuan kewangan bersasar kepada rakyat Sarawak bagi membeli barangan keperluan asas makanan.

Inisiatif tersebut bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

SKAS disalurkan dalam bentuk baucar digital yang boleh diakses melalui aplikasi S Pay Global (e-dompet) yang sebelum ini dikenali sebagai Sarawak Pay di mana penerima hanya boleh menggunakan di pasar raya atau kedai yang berdaftar sebagai Merchant List.

Kemudahan pembayaran tanpa tunai melalui S Pay Global yang menjadikan urusan SKAS lebih mudah dan pantas.

Tinjauan di salah sebuah pasar raya yang berdaftar sebagai Merchant List SKAS, di sini hari ini menyaksikan rata-rata penerima bantuan menzahirkan kesyukuran atas inisiatif ini selain berpendapat bahawa bantuan tersebut amat membantu dalam meringankan beban perbelanjaan keperluan asas.

Menurut salah seorang penerima yang layak menerima bantuan sebanyak RM800 bagi keluarganya Stanley Kauh, 56, bantuan tersebut akan digunakan untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras, minyak, gula dan kopi.

“Saya cukup bersyukur apabila tersenarai sebagai penerima bantuan dan akan membelanjakan wang ini secara berhemah bagi membeli barangan keperluan asas dapur yang secara tidak langsung membantu menguruskan perbelanjaan keluarga saya,” katanya.

Stanley juga menyifatkan SKAS sebagai inisiatif terbaik daripada Kerajaan Sarawak dan berharap agar program ini diteruskan setiap tahun.

“Kalau boleh, biarlah setiap tahun rakyat Sarawak mendapat bantuan ini supaya lebih ramai dapat merasakan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat,” ujarnya.

Seorang lagi penerima, Mohamad Azowan Abdollah, 37, turut, berkata bahawa SKAS sangat membantu dalam perbelanjaan bulanannya.

“Saya akan gunakan bantuan ini untuk membeli barangan keperluan dapur, barang anak dan bagi saya,.

“SKAS adalah bagus kerana membantu kita berjimat,” katanya.

Mohamad Azowan turut memuji kemudahan pembayaran tanpa tunai melalui S Pay Global yang menjadikan urusan SKAS lebih mudah dan pantas.

-ZS-

Tinggalkan komen anda