
Laporan/foto: Malina Ninti Jamarin (Tuaran)
TUARAN, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Spektra ‘Free Market’ diadakan dengan tujuan utama untuk menyediakan keperluan sekolah kepada ibu bapa dan pelajar yang memerlukan tanpa sebarang bayaran.
Inisiatif program ini bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga yang kurang berkemampuan, tetapi juga memupuk semangat kebersamaan dan saling membantu dalam kalangan masyarakat.

Jasni memeriksa keperluan barangan sekolah sebelum diserahkan kepada penerima.
Guru Besar SK Pekan Tamparuli, Jasni Omar, 55, menjelaskan bahawa barangan keperluan sekolah dalam program ini merupakan sumbangan terbuka daripada pelbagai pihak, termasuk ibu bapa, guru-guru, serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.
“Barangan yang disediakan terdiri daripada pakaian sekolah terpakai, uniform kokurikulum, kasut, beg, dan peralatan sekolah.
“Setiap barangan yang diterima akan diperiksa dan dipastikan dalam keadaan baik serta bersih sebelum diberikan kepada penerima.
“Ini penting bagi memastikan sumbangan yang disampaikan dapat digunakan dengan selesa oleh pelajar,” katanya ketika ditemui pada program Free Market di SK Pekan Tamparuli di sini kemarin.
Sementara itu, ibu kepada salah seorang pelajar, Emma Gombon, 42, berharap program ini dapat diteruskan dan diadakan sekurang-kurangnya seminggu sebelum sesi persekolahan bermula.

Synea gembira dapat memilih kain baju sekolah di sini semalam.
“Walaupun sekadar sumbangan, saya melihat kaedah seperti ini sangat baik dan dapat membantu dalam penyediaan keperluan anak-anak. Program seperti ini amat bermakna kerana meringankan beban ibu bapa, terutama bagi mereka yang mempunyai lebih daripada seorang anak bersekolah,” ujarnya.
Seorang pelajar, Jesschinta Hochungkiong, 7, menyatakan kegembiraannya kerana dapat memilih sendiri beg sekolah yang diingininya.
“Saya sangat gembira kerana dapat memilih beg sendiri. Walaupun ia sudah terpakai, tetapi masih elok dan boleh digunakan dengan baik,” kongsinya dengan penuh rasa syukur.

Jesschinta memilih sendiri barangan keperluan sekolahnya di sini semalam.
Bagi pelajar darjah empat, Synea Crystal Joe Bedcius, 11, pengalaman memilih pakaian sekolah sendiri dalam program ini sangat bermakna dan memberikan kesedaran mengenai nilai berkongsi dan membantu sesama rakan.
“Saya berasa terharu dapat memilih pakaian sekolah sendiri. Saya berharap program Free Market ini akan diteruskan pada masa akan datang supaya lebih ramai pelajar dapat merasai manfaatnya,” jelasnya.
Program yang berlangsung di Dewan Terbuka OKK Bayang Spektra SK Pekan Tamparuli ini dianjurkan oleh PIBG dan Unit Hal Ehwal Murid (HEM) Spektra. Selain Free Market, turut diadakan aktiviti gotong-royong pembukaan sekolah serta persediaan kelas bagi sesi persekolahan tahun 2025.
-RJ-