Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Program NADI x Komuniti MADANI Bantu Warga Emas Tingkatkan Kemahiran Digital

By 16 Februari 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Malina Jamarin/Fadzlee Ibrah/Ag Yasri Ag Ismail (Tuaran)

TUARAN, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Program Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) x Komuniti MADANI memberikan peluang yang amat berharga kepada warga emas untuk memperkukuh kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Sekitar suasana NADI x Komuniti MADANI yang diadakan di Tuaran semalam.

Program ini bertujuan memberi faedah besar kepada golongan warga emas dengan memastikan mereka tidak ketinggalan dalam perkembangan dunia digital masa kini.

Pengurus NADI PPR Taman Sri Rugading, Azlee Oklee menyatakan bahawa, selain meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan generasi muda, NADI turut memberi perhatian kepada meningkatkan literasi warga emas terhadap aplikasi teknologi.

“Peluang untuk belajar ICT sangat penting bagi warga emas. Dengan memanfaatkan kemudahan yang disediakan, mereka kini dapat menguasai teknologi, yang membolehkan mereka menjalankan aktiviti harian dengan lebih efisien dan terhubung dengan masyarakat.

“Selain itu, dengan celik ICT, warga emas juga dapat berkomunikasi dengan lebih mudah, terutamanya melalui platform digital yang kini semakin meluas,”

“Melalui ini para peserta, termasuk golongan warga emas, mendapat manfaat dan juga membuka ruang untuk mereka terlibat lebih aktif dalam kehidupan sosial dan ekonomi, sambil menyebarkan maklumat berkaitan dasar kerajaan,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di NADI Kampung Malanggang Kiulu, di sini semalam.

Abdul Kahim (baju hijau) ketika mendengar taklimat daripada pengurus NADI PPR Taman Sri Rugading Azlee.

Bagi Ketua Komuniti MADANI Kampung Rugading, Abdul Kahim Sanip, 65, sebagai peserta beliau mengakui bahawa program ini memberi peluang keemasan bagi warga emas untuk sekurang-kurangnya mempelajari ilmu asas ICT.

“Adanya peluang ini membolehkan kami memahami penggunaan teknologi dengan lebih baik serta memudahkan kehidupan seharian kami dan meningkatkan pemahaman tentang perkembangan dunia digital.

“Kami bukan sahaja belajar tentang kemahiran ICT, tetapi juga merasa lebih terhubung dengan dunia luar dan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Kampung Rungus Nahaba Kiulu, Robert Benjamin, 45, percaya, NADI mempunyai peranan penting untuk menjadi pusat perkembangan ilmu terutama untuk penduduk luar bandar.

“Oleh itu, saya bersama beberapa orang ahli komuniti kami sanggup menempuh sejauh 50 km dari kampung Rungus Nahaba semata-mata untuk mendengar sendiri maklumat mengenai NADI.

Robert Benjamin (Baju merah) ketika menghadiri taklimat di NADI Malanggang, Tuaran semalam.

“Maklumat dan latihan yang kami peroleh melalui program ini amat penting untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti kami,” ujarnya.

Sebagai makluman, Program NADI x Komuniti MADANI ini telah diadakan di NADI Kg Sg Damit Tamparuli, NADI Kg Serusop, NADI Kg Tambalang, dan NADI PPR Taman Sri Rugading melibatkan 12 komuniti MADANI.

-RJ-

Tinggalkan komen anda