
Laporan/foto: Farid Izzemeer (Hilir Perak)/Facebook Saarani Mohamad
TELUK INTAN, 20 Feb (Malaysiaaktif) – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Menara HASiL, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di sini kelmarin.
Berangkat sama, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Sultan Perak berkenan melawat bangunan menara.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin.
Baginda kemudian berkenan menyempurnakan lafaz perasmian dan gimik perasmian seterusnya menandatangani plak sebelum melawat pameran, disusuli majlis santapan dan melawat bangunan menara itu sebelum berangkat pulang.
Terdahulu, Hui Ying dalam sembah ucapannya, berkata kerajaan negeri telah mencatat pencapaian yang cemerlang dengan kutipan hasil yang tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM1.322 billion pada tahun 2024.
“Perak turut menerima pengiktirafan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Negeri 2023, sekaligus mengukuhkan kedudukan Perak antara lima negeri terbaik dalam aspek tadbir urus kewangan,” ujarnya.
Sementara itu, Abu Tariq dalam sembah ucapannya, berkata Menara HASiL itu dibina pada 15 Mei 2018 di tanah berkeluasan 4.046 hektar dengan nilai kontrak pembinaan RM26.3 juta.

Menara setinggi tiga tingkat ini dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dewan serbaguna, bilik mesyuarat dan kafeteria.
“Menara ini memiliki tiga aras dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk dewan serbaguna, bilik mesyuarat, kafeteria serta ruang kerja pegawai yang lebih luas dan selesa,” katanya.
Abu Tariq turut memaklumkan LHDN Teluk Intan telah merekodkan kehadiran sehingga 77,592 pembayar cukai setahun dan 35,000 daripadanya merupakan komuniti di sekitar Teluk Intan.
“Berdasarkan rekod permohonan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025, Perak berada di tangga kelima dengan jumlah keseluruhan borang permohonan sebanyak 876,315,” ujarnya.
-ZS-