
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 28 Feb (MalaysiaAktif) – Tenaga Nasional Berhad (TNB) berbesar hati menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1 juta kepada negeri Perlis berdasarkan jumlah pendapatan dan keuntungan operasi TNB pada tahun kewangan 2023.
Menurut Pemangku Chief Strategy dan Ventures Officer TNB Ir Dr. Mohd Fadzil Mohd Siam, berkata ini adalah penyerahan zakat berjumlah RM1 juta, dua tahun berturut-turut kepada negeri Perlis.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf
Beliau menyatakan demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan TNB Peringkat Negeri Perlis Tahun 2023 bertempat di Masjid Kampung Binjal Utan Aji.
“Jumlah tersebut telah pun dipindahkan ke akaun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada Oktober lalu dan menjadikan keseluruhan pembayaran zakat oleh TNB untuk negeri Perlis adalah sebanyak RM7.2 juta sejak 2016,” katanya.
Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut berangkat hadir, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda berdua turut berkenan menyampaikan sumbangan asnaf kepada 150 asnaf dan fakir miskin berjumlah RM15 ribu dan penyampaian RM3 ribu kepada pihak Masjid Kampung Binjal.
Tambah Mohd Fadzil, TNB berharap dengan sumbangan ini ia dapat membantu golongan asnaf yang memerlukan bantuan dan juga pihak masjid bagi menjayakan program atau aktiviti yang telah dirancang.
Untuk makluman, zakat perniagaan TNB untuk tahun 2023 adalah berjumlah RM33,603,000.00 berbanding tahun sebelumnya (2022) iaitu sebanyak RM40,430,000.00.
Pengagihan zakat adalah berdasarkan kepada 100% bilangan golongan asnaf. Pecahan zakat untuk setiap negeri diagihkan berdasarkan pemberat 70% fakir miskin, 30% fisabillilah.
-AA-