Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Agihan Bubur Lambuk Simbolik Perpaduan Komuniti Setempat

By 9 Mac 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh

PASIR MAS, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Sembilan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Zon 2 Pasir Mas berganding bahu memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada masyarakat setempat dalam usaha memperkukuhkan hubungan kejiranan serta menyokong pihak berkuasa dalam membanteras jenayah.

DSP. Mazlan Deraman (tengah) mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai sambil di perhatikan SM Ahmad Suhairi

Program yang diadakan di pekarangan Masjid Kampung Binjai Chetok semalam, merupakan sebahagian daripada Program Gerak Rahmah 2025: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Daerah Pasir Mas.

Selain mengeratkan hubungan antara ahli KRT dan komuniti setempat, program ini turut berperanan sebagai platform bagi menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi tujuan keselamatan.

Menurut Pegawai JPNIN Pasir Mas/Tumpat, Mohd Zulkarny Salleh, program ini menyaksikan penglibatan ahli jawatankuasa jiran wanita yang bertanggungjawab menyediakan bubur lambuk dengan pelbagai rasa dan citarasa tempatan.

Bubur lambuk diagihkan kepada pengguna jalanraya oleh DSP. Mazlan Deraman di bantu SM Ahmad Suhairi

“Bubur lambuk yang dimasak akan diagihkan kepada penduduk kampung dan pengguna jalan raya. Dalam masa yang sama, program ini memberi peluang kepada ahli KRT untuk mendekati pihak polis bagi menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan di kawasan mereka,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa peruntukan yang diberikan kepada KRT membolehkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan perpaduan dijalankan, sekali gus mengukuhkan semangat muafakat dalam komuniti.

Sementara itu, Ketua Balai Polis To’ Uban, Sarjan Mejar Ahmad Suhairi Abdullah, menyambut baik inisiatif ini dan menekankan kepentingan kerjasama KRT dalam membantu pihak berkuasa mengekalkan keamanan.

“Program seperti ini wajar diteruskan kerana ia memudahkan penyampaian serta penerimaan maklumat berkaitan keselamatan. Selain itu, kerjasama antara KRT melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS) telah banyak membantu pihak polis dalam usaha memerangi jenayah,” katanya.

Pengerusi KRT Kampung Binjai, Muhammad Afifi Mohd Noor, pula bersyukur kerana program ini berjalan lancar dengan sokongan padu daripada pihak polis dan masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, pengagihan bubur lambuk pada awal Ramadan ini berjaya dilaksanakan dengan lancar. Saya berharap lebih banyak program perpaduan dan keselamatan dapat dianjurkan pada masa hadapan, serta peruntukan ditambah untuk manfaat komuniti,” katanya.

Sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk telah diagihkan dalam program ini, dengan kehadiran seramai 500 ahli jawatankuasa KRT bersama penduduk.

Turut hadir ialah Pegawai Polis Daerah Pasir Mas, DSP Mohd Mazlan Deraman, yang turut menyatakan sokongannya terhadap inisiatif yang memperkukuhkan semangat kejiranan serta keselamatan dalam masyarakat.

-AA-

Tinggalkan komen anda