
Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar
BACHOK, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Kelantan 2025 berlangsung meriah di Pusat Aktiviti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Bachok, yang juga berfungsi sebagai Pejabat Perpaduan Daerah Bachok.

Jabatan, Agensi, KRT dan orang ramai yang terlibat dengan acara penyediaan bubur lambuk perpaduan
Program ini merupakan kluster ketiga di bawah flagship Kembara Perpaduan Malaysia MADANI, yang dilancarkan pada 2023 bagi menggerakkan KRT secara menyeluruh di seluruh negara.
Inisiatif ini bertujuan memastikan KRT kekal aktif dan berkesan dalam memperkukuhkan perpaduan di peringkat komuniti.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kelantan, Zarina Zakaria bersama Timbalan Exco Belia Sukan NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, YB Bahari Mohamad Nor menyantuni KRT yang menyediakan bubur butir nangka
Bubur lambuk dipilih sebagai simbol perpaduan kerana proses penyediaannya melibatkan masyarakat dari pelbagai lapisan.
Tradisi ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah mencerminkan nilai muhibah serta semangat gotong-royong yang menjadi asas keharmonian rakyat Malaysia.
Menurut Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kelantan, Zarina Zakaria, program ini menjadi landasan untuk memupuk semangat kerjasama dan hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat.
“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 40 peratus penyertaan daripada KRT aktif di seluruh negara. Hari ini sahaja, lebih 3,500 KRT menyertai program ini secara nasional, termasuk lebih 250 KRT di Kelantan, dengan penglibatan 42 agensi kerajaan, swasta, NGO, Sekretariat Rukun Negara serta 1,500 petugas gotong-royong,” katanya.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, YB Bahari Mohamad Nor.
Pelbagai aktiviti turut diadakan, antaranya Kacau Bubur Perpaduan, di mana 40 periuk bubur pelbagai jenis dimasak bersama.
Selain itu, Serahan Bakul Rahmah kepada golongan B40 dan asnaf, Program Ramadan 360 bersama YADIM Negeri Kelantan serta agihan bubur lambuk kepada orang ramai.
Program ini bukan sekadar aktiviti memasak, tetapi turut mencerminkan semangat muafakat dan kebersamaan dalam komuniti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkukuhkan perpaduan nasional.
-AA-