Skip to main content
Berita Sabah & LabuanSabah

Bantuan TEKUN Bantu Peniaga Ikan Kering Teruskan Peniagaan

By 14 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Lambakan peniaga ikan kering di Kota Kinabalu tidak menjadi halangan besar bagi segelintir komuniti setempat untuk memulakan mahupun mengembangkan perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berasaskan produk berkenaan.

Radsman bersama isterinya (kiri) dan anaknya di gerai mereka dengan menjalankan perniagaan ikan kering.

Bagi Radsman Bilgina, 50, beliau telah berkecimpung dalam perniagaan ikan kering di Sabah selama 10 tahun dan masih mampu menyara keluarganya dengan hasil jualan pelbagai produk antaranya ikan masin, bilis serta udang kering.

Biarpun pernah terkesan dengan Pandemik COVID-19, beliau tetap cekal meneruskan perniagaan tersebut di samping menerima suntikan bantuan pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

“TEKUN memainkan peranan penting dalam membantu saya bertahan dan mengembangkan perniagaan, pandemik COVID-19 menyebabkan pendapatan menurun, namun pinjaman tanpa bunga dari TEKUN memberikan harapan baru kepada saya dan keluarganya untuk terus menjalankan perniagaan ikan kering ini.

“Kami mendapat pinjaman tanpa bunga sebanyak RM10,000 daripada TEKUN di mana pinjaman ini banyak membantu kami dalam menambah modal perniagaan dalam memastikan kami boleh terus bertahan,” katanya ketika ditemui di gerai ikan keringnya di Tamu Buhavan Square Donggongon di sini pada Rabu.

Tambah Radsman, pinjaman daripada TEKUN tidak membebankan malah berjaya memulihkan pengurusan dan produkiviti perniagaanya agar lebih stabil serta berkembang dengan positif melalui pelan bayaran balik pinjaman yang berpatutan.

Antara jenis ikan kering yang dijual oleh Radsman, yang menjadi pilihan ramai pelanggan.

“Kami perlu membayar semula pinjaman tersebut dengan bayaran yang sangat berpatutan, iaitu RM50 seminggu, ini sangat membantu kami dalam memberi sokongan kewangan untuk memajukan lagi perniagaan dan pendapatan saya sebagai pengusaha.

“Kami amat menghargai keprihatinan pihak TEKUN dalam membantu peniaga kecil seperti kami dan ini memberi kami keyakinan untuk terus berusaha dan memperbaiki perniagaan kami dalam tempoh yang akan datang,” ujarnya.

Tidak hanya berniaga di Tamu Buhavan Square, beliau turut menjalankan perniagaan di beberapa pasar tani lain untuk meluaskan jaringan pelanggan antaranya di kawasan Asia City dan di Putrajaya, Kota Kinabalu dengan menyasarkan pelanggan daripada semenanjung Malaysia.

-RJ-

Tinggalkan komen anda