
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/KPDN Labuan
LABUAN, 6 Mac (Malaysiaaktif) – Bekalan barangan keperluan asas seperti gula, minyak masak dan tepung gandum mencukupi untuk keperluan penduduk pulau ini.

Pemantauan bekalan gula pasir kasar oleh KPDN.
Menurut satu kenyataan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan, pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai perkara tersebut melalui sistem aduan mahupun semasa membuat pemantauan di lapangan selain tiada pembelian panik dilaporkan berlaku.
“Kilang tepung masih beroperasi seperti biasa dan tiada masalah pengeluaran, pemborong minyak masak polibeg dijangka akan menerima bekalan baharu selewat-lewatnya minggu kedua Mac ini dan tiada masalah bekalan gula pasir kasar di tiga pemborong utama di wilayah itu,” menurut kenyataan itu semalam.
Sementara itu, KPDN Labuan telah melaksanakan Program Jualan Rahmah Madani sebanyak 22 kali (PJRM) untuk tahun ini.

KPDN turut memantau bazar Ramadan di Labuan.
“Bekalan yang disediakan oleh setiap pasaraya bergantung dengan saiz pasaraya yang terlibat dan bekalan ini ditawarkan untuk kegunaan isi rumah sahaja.
“Sepanjang bulan Ramadan tidak kurang tujuh PJRM yang telah dirancang termasuk PJRM Mega Raya yang melibatkan empat pasar raya sekali gus di lokasi yang sama bagi memberi peluang kepada masyarakat Labuan mendapatkan keperluan asas serta beberapa barangan yang terpilih bagi persediaan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
-ZS_