Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Bubur Lambuk Memperkukuh Perpaduan Bangsa Johor

By 9 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ashikin Mustafa (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Program Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Johor telah dilaksanakan dengan jayanya di Masjid Al-Hadi, Kampung Makam, semalam.

Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Tuan Raven Kumar a/l Krishnasamy.

Gimik perasmian Program Gerah Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Johor

Bubur lambuk, juadah tradisi yang popular di bulan Ramadan menjadi pilihan utama dalam program ini.

Ia dapat mengukuhkan lagi semangat perpaduan pelbagai kaum melalui aktiviti gotong-royong memasak dengan penyertaan masyarakat berbilang kaum termasuk agensi kerajaan dan sektor swasta.

Penduduk berbilang bangsa bergotong-royong menyiapkan bahan untuk bubur lambuk

Dalam ucapan perasmian, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Johor, Nurul Akmalina Shamsuddin, berkata bahawa program Gerak Rahmah bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dalam Kawasan Rukun Tetangga (KRT) secara bersepadu di seluruh negara, selain memastikan keberkesanan dan keaktifan program ini di peringkat komuniti.

“Program ini juga menjadi platform untuk memperkukuhkan semangat kerjasama, perpaduan, dan hormat menghormati antara masyarakat berbilang kaum, sekali gus menyumbang kepada pembinaan Malaysia yang lebih harmoni, sejahtera, mampan dan progresif,” ujarnya.

Salah seorang peserta, Vardhan a/l Khabla, menyifatkan program ini sebagai satu inisiatif yang sangat baik dalam mengeratkan perpaduan antara kaum di Malaysia.

“Kami datang bergotong-royong untuk memasak bubur lambuk yang dapat menyatukan pelbagai kaum dalam suasana yang penuh keharmonian,” katanya ketika ditemui.

Turut hadir pada majlis tersebut ADUN Johor Lama,Norlizah Noh, pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Johor serta ketua-ketua jabatan daerah Kota Tinggi.

-AA-

Tinggalkan komen anda