
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 27 Mac (MalaysiaAktif) — Jualan MADANI Koperasi anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Johor dengan kerjasama Koperasi Pelabuhan Berhad dan Koperasi Inovasi mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penjawat awam di Bangunan Wisma Persekutuan Johor Bahru.

Mahzan ketika ditemui semasa membuat tinjauan Jualan MADANI Koperasi di perkarangan Bangunan Wisma Persekutuan Johor Bahru, semalam.
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Johor Mahzan Noordin, berkata jualan yang diadakan selama satu hari ini bertujuan untuk membantu penjawat awam di sini untuk berbelanja sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Lebih 30 barang keperluan harian dijual dengan potongan harga sebanyak 20 hingga 30 peratus dan ini dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan dengan harga yang berpatutan.
“Jualan ini akan diteruskan pada Hari Raya Aidiladha, Deepavali dan juga Tahun Baru Cina dan sekiranya ada permintaan untuk dilaksanakan bukan dalam tempoh perayaan seperti Jualan Hari Gaji, kita akan pertimbangkan nanti,” katanya ketika meninjau Jualan MADANI Koperasi di perkarangan letak kereta Wisma Persekutuan Johor Bahru, di sini semalam.

Penjawat awam di Wisma Persekutuan Johor Bahru tidak melepaskan peluang untuk berbelanja bagi membuat persiapan awal menjelang Hari Raya Aidilfitri, minggu depan.
Tambah Mahzan, jualan yang dianjurkan ini juga merupakan julung kalinya diadakan dan akan diteruskan pada perayaan-perayaan utama.
-ZS-