
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 6 Mac (MalaysiaAktif) – Bubur lambuk atau lebih popular dengan nama bubur kanji di utara Semenanjung yang disediakan oleh Masjid Sultanah Haminah, Tanjung Radin merupakan juadah yang sentiasa menjadi pilihan penduduk tempatan kerana rasanya yang enak dan sedap setiap kali menjelangnya bulan Ramadan.
Menurut siak masjid tersebut, Shukri Senawi, 58, setiap hari persiapan dan penyediaan bubur kanji akan dibuat oleh tujuh hingga lapan orang petugas yang merupakan jawatankuasa masjid serta jemaah dari kalangan anak kariah masjid ini.

200 bungkus bubur kanji disediakan setiap hari.
“Biasanya kami akan memulakan persiapan dan penyediaan ramuan untuk memasak seawal pukul 9.00 pagi dan proses membungkus pula bermula pada pukul 3.30 petang,” ujarnya.
Ghazali Hamid, 58, salah seorang jemaah yang membantu memasak bubur kanji di sini memaklumkan bahawa setiap hari masjid ini memperuntukkan RM400 untuk penyediaan kanji dan menggunakan bahan segar seperti daging dan tulang lembu tempatan.
“Selain mengedarkan bubur kanji kepada orang ramai, setiap hari masjid ini juga akan mengadakan majlis berbuka puasa dan menjalankan kelas pengajian al-Quran dan Bahasa Arab,” ujarnya.
Salah seorang peminat setia bubur lambuk atau bubur kanji ini, Hafizullah Abd Aziz, yang ditemui pagi semalam, berkata bahawa bubur lambuk yang disediakan oleh masjid ini sememangnya menjadi kegemaran beliau dan keluarga sejak sekian lama.

Jemaah masjid mula membungkus kanji bermula pukul 3.30 petang.
“Rasanya yang sedap dengan aroma air rebusan daging yang memikat ini yang menjadikan bubur lambuk ini sangat istimewa dan boleh dimakan oleh seisi keluarga,” ujarnya.
Bermodalkan sumbangan dan sedekah daripada orang ramai, juadah istimewa ini diedarkan kepada penduduk yang hadir dari kawasan sekitar seawal pukul 5.15 petang, usai menunaikan Solat Asar.
“Saya amat berharap agar lebih ramai individu akan terus memberikan sumbangan untuk masjid kami supaya lebih banyak program yang bermanfaat dapat dianjurkan dalam mengimarahkan lagi masjid ini,” ujar Shukri mengakhiri perbualan.
-ZS-