
Laporan/foto: Abdul Hadi Abdul Ghani/Asrul Affandi Saflie@Awang Sapre (Semporna)
SEMPORNA, 20 Mac (MalaysiaAktif) – Pegawai kerajaan perlu sentiasa mempamerkan keperibadian dengan nilai perpaduan yang unggul sebagai suri teladan kepada masyarakat.
Justeru gagasan Malaysia Madani juga wajar diterjemahkan dengan baik melalui penekanan nilai hormat, ihsan dan kebersamaan dalam usaha membentuk masyarakat yang bersatu hati dalam membangunkan negara.
Penolong Pegawai Daerah Kanan Semporna, Abdul Aziz Bool berkata, usaha ini boleh digerakkan antaranya melalui majlis berbuka puasa sekali gus dengan pengisian yang berunsurkan tarbiah diri.

Abdul Aziz mengajak masyarakat mengutamakan nilai kemanusiaan serta mengingatkan pentingnya perpaduan dan ukhwah dalam masyarakat.
“Majlis berbuka puasa ini bukan sekadar peluang untuk berkumpul beramai-ramai, tetapi menjadi platform memupuk kesedaran masyarakat mengenai pentingnya nilai kemanusiaan dan kepedulian terhadap golongan memerlukan.
“Melalui inisiatif ini, kita dapat menggalakkan semangat ukhwah, memupuk rasa kasih sayang dan menjalin hubungan lebih erat antara rakyat dan kerajaan.
“Majlis ini antara medium terbaik untuk masyarakat menjalinkan perpaduan yang disarankan oleh Perdana Menteri antaranya menekankan nilai hormat, ihsan dan kebersamaan sesama ahli masyarakat,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Iftar Ihya’ Ramadan di Pejabat Daerah Semporna di sini pada Selasa.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Semporna, Mohamma Syah Kisun percaya, majlis seumpamanya membuka ruang kepada agensi kerajaan untuk menyantuni komuniti setempat dengan lebih dekat.
“Ini bukan sahaja untuk memupuk semangat kebersamaan, tetapi juga sebagai platform untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dalam kalangan staf kakitangan kerajaan tanpa mengira latar belakang fahaman politik mereka.

Sekitar suasana majlis Iftar Ihya’ Ramadhan di Pejabat Daerah Semporna antara ketua-ketua jabatan dan masyarakat setempat kemarin.
“Dengan cara ini, suasana harmoni dan perpaduan dalam perkhidmatan awam dapat diteruskan dan menjadi contoh terbaik kepada masyarakat di samping mengisi amalan kerohanian menerusi majlis ilmu,” ujarnya.
Untuk makluman, majlis iftar yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Semporna ini diimarahkan dengan Tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Semporna, Ustaz Muhaimin Mubin serta penyampaian sumbangan kepada anak yatim dan tahfiz dari Kampung Bukit Lalang serta anak yatim Ummi dan Maad Tahfiz Ar-Rauddah dari Kampung Tanjung Kapor, Semporna.
-RJ-