
Laporan/foto: Muhammad Nashran/Noorhayati Ab Aziz (Kampar)
KAMPAR, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Program Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Daerah Kampar 2025 bukan sekadar acara memasak, tetapi satu inisiatif menyemai semangat perpaduan dalam komuniti.
Berkonsepkan gotong-royong, program ini menggabungkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta dalam usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat, selaras dengan bidang tumpuan progresif ketiga iaitu pembangunan komuniti yang harmoni dan inklusif.

Ahli Jawatankuasa Komuniti MADANI Kampung Gunung Mesah Hilir sedang membuat persiapan memasak bubur lambuk dengan menyusun dan memotong bahan-bahan yang diperlukan.
Pegawai Perpaduan Daerah Kampar Roshafiza Zakaria, berkata program ini diadakan secara serentak di seluruh negara dan menjadi platform terbaik untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
“Sebanyak lapan periuk bubur lambuk dimasak hari ini dengan kerjasama erat daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, NGO, pihak swasta serta penduduk setempat, jelas menunjukkan semangat kebersamaan yang tinggi dalam komuniti kita,” ujarnya ketika ditemu ramah, di sini semalam.
Sementara itu, Pegawai Perpaduan Daerah Kampar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini yang bertempat di Masjid Jauhiriyah Kuala Dipang di sini.
“Kejayaan program ini bukan sahaja hasil usaha penganjur, tetapi juga berkat sokongan dan komitmen semua pihak yang berganding bahu memastikan acara ini berjalan lancar dan semoga semangat gotong-royong dan perpaduan ini terus disemarakkan dalam komuniti kita,” jelasnya.
Ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kuala Dipang Rusnaliza Hozlan, 52, turut teruja dapat menyertai gotong-royong memasak bubur lambuk bersama komuniti setempat.

Azlan Helmi bergambar bersama ahli KRT Kampar Perdana dan Wah Loong yang terdiri daripada masyarakat kaum Cina, yang turut terlibat dalam gotong-royong memasak bubur lambuk.
“Saya berpeluang berganding bahu dengan masyarakat pelbagai kaum dalam menyediakan bubur lambuk dengan suasana yang penuh harmoni ini mengingatkan saya kepada tradisi kampung dahulu di mana semangat kejiranan begitu erat,” ujarnya.
Rusnaliza turut berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai masyarakat, sekali gus memperkukuh hubungan antara penduduk serta memperkasakan budaya gotong-royong dalam komuniti.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Kerajaan Negeri Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah Mohd Azlan Helmi dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak Yosri Abu Mahsin.
-ZS-