
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)
TELUK INTAN, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Program Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Daerah Hilir Perak 2025 yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sultan Idris 2, di sini kelmarin mencapai objektifnya dalam mengeratkan hubungan antara kaum.

Datuk Mohd Azhar (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Program Gerak Rahmah peringkat daerah Hilir Perak.
Pegawai Perpaduan Daerah Muhammad Syahmi Sazali, berkata di daerah Hilir Perak sebanyak 36 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan 14 Tabika Perpaduan bersama-sama menyertai program yang diadakan serentak di seluruh negara.
“Ini antara inisiatif Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional untuk menjalinkan hubungan baik antara agensi dan rakyat.
“Juga bagi menjamin kemaslahatan rakyat yang hidup bersama dengan jiran berbilang bangsa melalui aktiviti bersama-sama,” ujarnya ketika ditemu bual.
Sementara itu Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Pendidikan Teluk Intan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin melihat KRT mempunyai peranan yang sama penting dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Kerana KRT bukan sahaja sebagai penyalur maklumat dan menjaga keselamatan komuniti setempat tetapi juga penyatu hubungan antara masyarakat.

Datuk Mohd Azhar (tengah) mengagihkan bubur lambuk untuk diedarkan kepada semua KRT.
“Rakyat Malaysia yang hidup berbilang kaum ibarat kepelbagaian bahan masakan bubur lambuk yang jika dimasak bersama-sama akan menjadi sebuah masakan yang sedap dimakan,” ujarnya yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Perak Darul Ridzuan (PAFA).
Dalam pada itu Timbalan Pengerusi KRT Hospital Teluk Intan Ahmad Hafizi Adam, mahu program ini diteruskan pada masa akan datang.
“Melaluinya semangat perpaduan antara KRT dirasai bermula dari aktiviti memasak bersama-sama sehinggalah kepada pengagihan bubur lambuk kepada KRT masing-masing,” ujarnya.
-ZS-