
Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah (Machang)
MACHANG, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) @ Komuniti MADANI: Sembang Santai Komuniti MADANI Kampung Bandar bukan sekadar mengimarahkan bulan Ramadan, malah berperanan penting dalam membentuk masyarakat yang saling memahami dan bertoleransi.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Kampung Bandar Salwani Abdullah, 62, program yang disertai 40 peserta wanita ini memberi peluang untuk mengeratkan silaturahim di kalangan komuniti setempat sambil menghayati keberkatan bulan mulia ini.

Tadarus al-Quran melibatkan kaum hawa Komuniti MADANI Kampung Bandar.
“Antara aktiviti yang diadakan termasuk tadarus al-Quran, tazkirah Ramadan, iftar dan solat terawih.
“Semua ini bukan sahaja menambah ilmu agama tetapi juga mengeratkan hubungan sesama ahli komuniti,” katanya ketika ditemui di Madrasah Ayah Adam, Kampung Bandar, di sini pagi semalam.
Salwani turut menambah bahawa program ini dapat mengukuhkan hubungan dalam kalangan ahli Komuniti MADANI serta mendorong kerjasama antara jabatan dan agensi yang terlibat.
Sempena Ramadan, sesi tadarus al-Quran dijalankan setiap hari dari pukul 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, berbanding hanya tiga kali seminggu pada hari biasa.

Wan Seman menyampaikan ucapan.
“Program sebegini bukan sahaja membentuk jiwa yang bertakwa tetapi juga memainkan peranan dalam membentuk kepribadian dan kerohanian individu, sekali gus memperkukuh jaringan komuniti setempat,” katanya.
Program ini dianjurkan oleh Pejabat Penerangan Daerah Machang dengan kerjasama Komuniti MADANI Kampung Bandar.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Machang Wan Seman Wan Bedollah serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Komuniti Madani Kampung Bandar.
-ZS-