
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
HULU KELANG, 21 Mac (MalaysiaAktif) – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan Masjid Kampung Klang Gate, di sini semalam.

Sultan Sharafuddin menandatangani buku pelawat Masjid Kampung Klang Gate.
Ketibaan Sultan Selangor pada 6.15 petang disambut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Industri Halal, Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), Infrastruktur Digital Selangor Dr. Mohammad Fahmi Ngah.
“Beta merasmikan masjid ini dengan nama Masjid Kampung Klang Gate,” demikian lafaz titah perasmian baginda.
Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada asnaf daripada daerah Gombak yang terdiri daripada 110 asnaf fakir, 317 asnaf miskin dan 65 orang mualaf.

Salah seorang penerima sumbangan hari raya daripada Sultan Sharafuddin sempena perasmian Masjid Kampung Klang Gate semalam.
Seramai 492 asnaf itu menerima sumbangan sebanyak RM500 seorang dengan jumlah keseluruhan sumbangan tersebut sebanyak RM246 ribu.
Masjid Kampung Klang Gate Baru yang terletak di atas tanah berkeluasan dua ekar siap dibina semula pada tahun 2021 dengan kos berjumlah RM19.5 juta mampu memuatkan sehingga 2,000 jemaah.
-ZS-