
Laporan / Foto: AgKu Marzuki Bin Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 23 April (MalaysiaAktif) – Nilai perpaduan dan semangat muafakat dalam kalangan masyarakat berbilang latar terus disemarakkan menerusi penganjuran Majlis Sambutan Hari Raya Sekampung yang berlangsung meriah di Grandstand Kampung Inderasabah, di sini pada Isnin.

Nizam menyerahkan cenderahati kepada wakil Jabatan Penerangan Sabah iaitu Edy Rizam Kassim kelmarin.
Program anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bersama Komuniti MADANI Kampung Inderasabah ini menjadi platform penting dalam menyatupadukan masyarakat melalui sambutan perayaan yang diraikan bersama.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang merasmikan majlis berkata, penganjuran majlis seumpama ini memberi ruang terbaik untuk memperkukuh hubungan sesama penduduk.
“Majlis ini mencerminkan budaya hormat-menghormati dan semangat kekeluargaan dalam kalangan masyarakat. Ia bukan sekadar adat, tetapi satu jambatan silaturahim yang menghubungkan semua lapisan komuniti,” katanya.

Edaran bahan penerbitan bertujuan meningkatkan kesedaran tentang dasar dan inisiatif kerajaan.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus menyokong inisiatif MADANI sebagai wadah untuk membangunkan negeri dan negara secara bersama-sama.
Sementara itu, Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Inderasabah, Abit Sulaiman, berkata program sebegini membuka peluang kepada penduduk untuk memperbaiki komunikasi dan kerjasama antara satu sama lain.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas komitmen semua pihak yang menjayakan program ini. Inilah masanya untuk kita raikan Syawal dengan penuh kasih sayang dan muafakat. Semangat komuniti seperti ini adalah kekuatan sebenar kampung kita,” katanya.

Tarian tradisional yang memeriahkan sambutan, menyambut tetamu dengan penuh adat dan budaya.
Pelbagai aktiviti menarik turut memeriahkan majlis antaranya taklimat komunikasi dua hala oleh Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Azuary Abdul Azis, serta persembahan tarian kebudayaan, karaoke, jamuan juadah tradisional, cabutan bertuah dan pemberian duit raya kepada kanak-kanak.
Lebih 500 penduduk hadir memeriahkan sambutan dengan berpakaian tradisional, menambah seri kemeriahan majlis yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dan Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali.
-RJ-