
Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Shamsul Bahari Abdul Shukor
PERMATANG PAUH, 28 Apr (MalaysiaAktif) – Penggunaan Internet dan media sosial tanpa kawalan terutamanya kanak-kanak mengundang risiko kepada keselamatan dan masalah sosial.
Menyedari masyarakat perlu cakna, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turun padang mengadakan Kempen Internet Selamat sempena Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Pulau Pinang di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, di sini kelmarin.

Nur Aisyah Azman berpendapat kempen ini langkah tepat sejajar perkembangan teknologi.
Masyarakat terutama ibu bapa perlu mendidik anak-anak menggunakan Internet secara selamat dan beretika.
Kempen ini turut menekankan larangan kanak-kanak bawah 13 tahun memiliki akaun media sosial.
Seorang pelajar, Nur Aisyah Azman, 22, berkata inisiatif ini merupakan langkah tepat sejajar perkembangan teknologi agar masyarakat ambil peduli mengenai kepentingan menghadkan penggunaan peranti elektronik dan Internet dalam kalangan kanak-kanak.

Danish Sazani yakin usaha ini dapat meningkatkan kesedaran awam bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah siber.
Seorang lagi pelajar, Danish Sazani, 18, berkata usaha ini dapat meningkatkan kesedaran awam bagi mengelakkan masyarakat menjadi mangsa jenayah siber seperti penipuan dalam talian, judi dalam talian, buli siber dan jenayah pedofilia.
Danish berkata melalui kempen ini, warga emas yang sering menjadi sasaran penjenayah siber dapat meningkatkan pengetahuan untuk mengelakkan kes penipuan perbankan dalam talian.
Seorang ibu, Intan Basirah Basir, 28, berkata kempen ini memberi kesedaran kepada ibu bapa agar memahami bahaya membiarkan anak-anak menggunakan peranti elektronik dan Internet tanpa kawalan.
“Anak-anak belum bijak menilai mana baik dan mana yang buruk, ibu bapalah yang perlu mendidik dan mengawalnya,” ujarnya.
-ZS-