
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 21 April ( MalaysiaAktif ) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyerahkan rumah bantuan yang bernilai RM100,000 kepada salah seorang asnaf di pulau itu.

Syed Kamarulzaman bersama rombongan melihat sendiri keadaan dalaman rumah baharu Minggu
Menurut satu kenyataan MAIWP, rumah lama Minggu Jaman, 52, dari Kampung Sungai Miri mengalami kerosakan teruk menyebabkan rumah tersebut tidak selamat untuk diduduki.

Syed Kamarulzaman (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada Zulkarnain
Beliau yang bekerja sebagai pembersih pantai dengan dengan pendapatan RM750 sebulan terpaksa menampung kos perubatan isteri yang menghidap penyakit darah tinggi dan Diabetis Mellitus yang kronik menyebabkan masalah buah pinggang dan mata.
Dalam satu kenyataan hari ini, MAIWP meluluskan pembinaan sebuah rumah baharu di atas tanah miliknya selain meluluskan pemberian kelengkapan perabot asas bernilai RM20,000.
Bantuan itu disampaikan Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer semalam sempena lawatan kerja beliau ke Labuan sejak 19 April lalu.
Selain itu, beliau turut menyantuni keluarga Zulkarnain Musah, 34, di Kampung Pohon Batu yang bekerja sebagai penjual sate dan menanggung seorang isteri dan enam orang anak.
MAIWP Labuan telah meluluskan Bantuan Sara Hidup sebanyak RM500 dan Bantuan Keperluan Barangan Keperluan Asasi bernilai RM300 secara bulanan selain menerima bantuan sewa rumah bernilai RM500 sebulan.
Zulkarnain turut mendapat Bantuan Am Persekolahan dan Bantuan Peralatan Persekolahan Back To School kepada dua orang anak beliau sebanyak RM1,600 menjadikan keseluruhan bantuan zakat yang diterima berjumlah RM17,200.
-AA-