Skip to main content
Berita Sabah & LabuanSabah

Pengesanan Awal Masalah Pendengaran Bayi Penting untuk Perkembangan Sihat

By 16 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zaidi Jamin/Audiologi Hospital (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 27 Apr (MalaysiaAktif) – Ibu bapa disarankan agar sentiasa peka terhadap tahap pendengaran bayi sejak lahir bagi memastikan sebarang masalah pendengaran dapat dikesan dan dirawat lebih awal, sekali gus mengelakkan gangguan terhadap perkembangan pertuturan dan kognitif anak.

Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS), Dr. Yogendra Panchalingam berkata, masalah pendengaran boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia, termasuklah bayi sejurus selepas dilahirkan.

Dr. Yoge (kanan) ketika menerima cenderamata daripada Dr. Halimudin (kiri).

“Masalah pendengaran merupakan masalah tersembunyi dan hanya boleh dikenal pasti melalui ujian saringan. Tanpa pengesanan awal, ia boleh mengganggu pertuturan, perkembangan kognitif dan fungsi sosial kanak-kanak,” katanya ketika merasmikan Bengkel Modul Latihan dan Garis Panduan Privileging Petugas Saringan Pendengaran Bayi peringkat negeri Sabah, di sini pada Jumaat.

Tambahnya lagi, ibu bapa perlu diberi kesedaran tentang pentingnya penjagaan telinga serta risiko kecederaan di bahagian kepala yang boleh menjejaskan saraf pendengaran bayi.

“Setiap ibu bapa perlu berhati-hati dan mengelakkan kecederaan pada kepala bayi. Sekiranya berlaku hentakan, segera dapatkan pemeriksaan telinga dan pendengaran oleh pegawai perubatan,” tegas beliau.

Dr. Yoge (tengah) dan para peserta bengkel merakamkan gambar kenangan dalam Bengkel Modul Latihan Dan Garis Panduan Privileging (PSPB) peringkat negeri Sabah.

Dr. Yogendra turut menyatakan harapan agar bengkel ini dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam memberikan serta menyampaikan maklumat kesihatan pendengaran kepada pesakit, keluarga dan masyarakat.

Bengkel selama dua hari itu melibatkan lebih 50 peserta yang terdiri daripada petugas saringan pendengaran bayi, paramedik dan jururawat perubatan.

Para peserta turut didedahkan dengan kepentingan serta teknik yang betul dalam melaksanakan ujian saringan pendengaran bagi bayi yang baru lahir.

-RJ-

Tinggalkan komen anda