
Laporan/foto: Nurul Ain Kamil
PERMATANG PAUH, 28 Apr (MalaysiaAktif) – Inisiatif Free Market Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri yang berlangsung di Dewan Terbuka, Pejabat Pendidikan Daerah Sebernag Perai Tengah, di sini kelmarin mendapat sambutan daripada pengunjung.

Sharliza Wahab memperagakan salah satu baju yang ditawarkan di Free Market PUSPANITA.
Menurut Timbalan Pengerusi PUSPANITA Daerah SPT Sharliza Wahab, program ini memberikan peluang kepada orang ramai terutama golongan memerlukan mendapatkan barangan yang masih baik secara percuma tanpa sebarang urusan jual beli.
“Inisiatif ini diperkenalkan tahun lalu dan niat kami adalah supaya lebih ramai mendapat manfaat daripada program ini.
“Sebelum ini fokus utama adalah menyediakan pakaian serta kasut sekolah sahaja, setelah melihat sambutan yang menggalakkan kami meluaskan lagi sumbangan kepada pakaian biasa untuk kegunaan harian,” katanya yang memaklumkan bahawa kebanyakan pakaian disumbangkan oleh kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah serta ahli PUSPANITA.
Program kali ini merupakan penganjuran keenam dan pihaknya bercadang untuk meneruskan pada masa akan datang, terutama menjelang musim persekolahan dan perayaan Aidilfitri.

Nur Syafinaz Ramli (kiri) salah seorang pengunjung yang memanfaatkan inisiatif Free Market.
Seorang pengunjung, Nur Syafinaz Ramli, 35, menyifatkan usaha tersebut sebagai inisiatif murni yang membantu meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah.
“Usaha ini memang bagus lebih-lebih lagi untuk mereka yang kurang berkemampuan kerana baju-baju yang disediakan pun masih dalam keadaan elok dan boleh digunakan,” katanya yang juga turut menyumbang pakaian tanda sokongan ke atas usaha ini.
-ZS-