
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 28 Apr (MalaysiaAktif) – Peruntukan Pembangunan (DE) Perlis yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri Perlis telah meningkat sebanyak 65 peratus sejak dari tahun 2022 hingga tahun 2024.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sebanyak RM391.91 juta telah disalurkan pada tahun 2022, RM596.82 juta pada tahun 2023 serta RM645.58 juta bagi tahun lepas.
“Pemberian tersebut menunjukan bahawa komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam membantu pembangunan pada semua negeri di negara ini demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Tambahnya, pemberian Kerajaan Persekutuan yang disalurkan langsung kepada setiap Kerajaan Negeri ditingkatkan di bawah Kerajaan MADANI meningkat sebanyak 25 peratus sejak tahun 2022 hingga 2024 iaitu sebanyak RM168.4 juta pada tahun 2022, 2023 pula RM182.3 juta serta 2024 berjumlah RM210.6 juta.
Anwar berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Perlis 2025 di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, dekat sini semalam.

Anwar turut menghadiri Mesyuarat Pembangunan Negeri Perlis.
Terdahulu, Perdana Menteri turut menghadiri Mesyuarat Pembangunan Negeri Perlis 2025 yang diadakan di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis.
Turut berangkat hadir Tuanku Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Ibni Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Majlis yang telah dihadiri lebih 10 ribu orang itu bukan sekadar acara sambutan tetapi menjadi sebuah wadah yang menyatukan rakyat melalui nilai budaya, tradisi dan kemasyarakatan.
Penganjuran majlis ini turut diharap dapat memperkukuh semangat kekitaan dan membuka ruang interaksi secara langsung antara rakyat dan kepimpinan negara dalam suasana yang penuh silaturahim dan muhibah.
Menurut Anwar lagi, bagi mendepani cabaran kos sara hidup, kerajaan telah menambah baik program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan peruntukan tambahan RM3 bilion melibatkan bilangan penerima naik dari 700,000 kepada 5.4 juta bermula 1 April lalu dengan setiap isi rumah menerima sehingga RM100 sebulan yang dikreditkan melalui MyKad untuk dibelanja di kedai runcit.
“Bagi penerima manfaat SARA di negeri Perlis pula peningkatan peruntukan telah di salurkan hampir 2.5 kali ganda dari 25,682 orang pada 2024 sehingga 62,292 orang setakat April 2025,” ujarnya.
-ZS-