
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
KOTA BHARU, 27 Apr (MalaysiaAktif) – Keunikan warna serta bentuk haiwan eksotik terus menjadi daya tarikan utama, khususnya dalam kalangan pencinta haiwan tempatan yang menghargai keindahan dan keistimewaan spesies luar biasa ini.
Pemilik haiwan eksotik, Mohd Fauzi Syawani Seman, 42, dari Kampung Air Naga Peralla, Tanah Merah, berkata keindahan dan keunikan haiwan seperti ular coke snake, mengkarung blue skin dan black dragon menjadi daya tarikan utama.

Tanpa rasa takut, Raihanan bermain dengan binatang eksotik seperti ular dan mengkarung.
“Minat saya terhadap haiwan ini bermula daripada rasa kagum dengan keunikan bentuk badan dan warnanya.
“Selain itu, haiwan ini juga mudah dijinakkan dan comel bila dilihat,” katanya ketika ditemui di Pasar Pagi Bulatan Tuan Padang, Kota Bharu, Jumaat lalu.
Menurutnya, semua haiwan eksotik yang dimiliki diperoleh daripada rakan-rakan serta kedai haiwan peliharaan, manakala penjagaannya juga tidak begitu rumit, hanya memerlukan biji-bijian dan serangga kecil sebagai makanan.
Seorang peminat haiwan eksotik, Raihanah Jamaluddin Al-Amini, 24, dari Kampung Tanjung Mas, turut berkongsi pengalaman apabila berpeluang memegang mengkarung blue skin.

Orang ramai melihat beberapa haiwan eksotik yang dipamerkan oleh Mohd Fauzi.
“Pada mulanya rasa takut, tetapi selepas melihat haiwan ini jinak dan tidak berbahaya, saya memberanikan diri untuk memegang dan bermain dengannya,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Wan Aishah Wan Azhar, 25, dari Kampung Dusun Muda, turut teruja apabila melihat haiwan-haiwan tersebut dari dekat.
“Saiznya besar, warnanya cantik dan bentuknya unik. Saya jarang melihat haiwan seperti ini secara langsung,” katanya.
Walaupun tidak semua haiwan eksotik berbahaya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.
-ZS-