Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Unduk Ngadau: Pelihara Kecantikan Tradisi, Menjunjung Amanah Budaya

By 19 April 2025April 21st, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh Sunday Grace Justimus & Noorsiah Mahmud (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 19 Apr (MalaysiaAktif) – Gelaran Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) bukan sekadar mengiktiraf kecantikan luaran, tetapi lebih kepada mengangkat nilai budaya dan warisan etnik Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).

Pemenang Unduk Ngadau peringkat negeri 2024, Hyellene Danius, 28, berkata bahawa tanggungjawab yang digalas bukan kecil kerana beliau kini membawa suara wanita serta memartabatkan budaya KDMR ke peringkat yang lebih tinggi.

Sesi temu bual eksklusif bersama Hyellene di program iNSPO@JAPENSabah kemarin.

“Penampilan itu penting, namun kecantikan sebenar terletak pada peribadi dan maruah seseorang wanita. Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan ratu cantik, tetapi juga platform untuk memberi inspirasi dan suara kepada wanita, khususnya dalam komuniti,” katanya ketika ditemu bual dalam program iNSPO anjuran Jabatan Penerangan Sabah, Khamis lalu.

Sebagai seorang guru Bahasa Melayu, Hyellene turut berkongsi cabaran dalam mengimbangi tugas hakiki dan peranannya sebagai Unduk Ngadau. Namun, beliau berjaya menyesuaikan diri dengan mengurus masa secara bijak demi memberikan yang terbaik dalam kedua-dua bidang.

“Setiap orang pasti menghadapi dilema untuk tidak mengabaikan tanggungjawab sambil mengejar minat. Tetapi dengan semangat dan doa yang berterusan, saya bersyukur dapat mengatasi cabaran tersebut. Kuncinya adalah keseimbangan dan komitmen dalam setiap tugas yang dipikul,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan wanita muda, khususnya yang berasal dari kawasan luar bandar, untuk menyertai pertandingan Unduk Ngadau sebagai satu pengalaman bermakna dan peluang mendalami adat tradisi KDMR.

“Sumandak dari kampung sebenarnya memiliki potensi besar untuk menyerlah kerana kebanyakan mereka mahir dalam bahasa ibunda – satu kelebihan besar. Jangan biarkan rasa rendah diri mengekang potensi diri.

“Lakukan persediaan rapi, termasuk mendapatkan bimbingan daripada pengurus yang berpengalaman. Walaupun pertama kali menyertai, jangan hanya mencuba-cuba. Berikan sepenuh usaha agar tiada penyesalan di kemudian hari,” tambahnya.

Pemilihan Unduk Ngadau Kaamatan setiap tahun bukan sahaja menjadi lambang kecantikan tradisional, tetapi juga simbol keluhuran budaya serta peranan wanita sebagai pewaris warisan bangsa.

-RJ-

Tinggalkan komen anda