
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 21 Apr (MalaysiaAktif) – Program Gotong-Royong dan Operasi Bersepadu Membasmi Wabak Denggi telah diadakan di Kampung Jermal, Sungai Taka, Mukim Sungai Batu pagi semalam melibatkan kerjasama aktif daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, komuniti setempat dan ahli jawatankuasa Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI).

Penghulu Mukim Sungai Batu Fariz Mokthar (dua dari kanan) berharap aktiviti gotong-royong sebagai salah satu usaha bagi mengekang penularan denggi agar tidak merebak ke kawasan lain.
Program ini bermula seawal pukul 9.00 pagi dan bertujuan untuk membersihkan kawasan sekitar serta memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes, sekali gus mencegah penularan wabak denggi di kawasan terlibat.
Menurut Penghulu Mukim Sungai Batu, Fariz Mokthar, program sebegini penting bagi memastikan kawasan kampung sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat.
“Kita harap usaha ini dapat mengekang penularan denggi dan tidak merebak ke kawasan lain,” katanya.
Sementara itu, Radziah Tamser, 55, yang juga merupakan ahli COMBI, menyatakan bahawa penglibatan masyarakat dalam program seperti ini amat digalakkan.
“Gotong-royong ini bukan sahaja membersihkan kampung, malah bantu hapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Wakil agensi dan jabatan turut serta dalam program gotong-royong membersihkan kawasan wabak denggi.
Bagi Imam Masjid Kampung Sungai Taka, Ustaz Hishamuddin Baharin, 53, aspek kebersihan perlu sentiasa dititikberatkan oleh setiap lapisan masyarakat.
“Agama menuntut kita menjaga kebersihan. Program sebegini wajar diteruskan agar kampung sentiasa bersih dan bebas penyakit,” jelasnya.
Penganjuran program ini diharap dapat menanam kesedaran berterusan dalam kalangan penduduk mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan kesihatan awam.
-ZS-