Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Graduan Warga Emas Bukti Ibu Mampu Jadi Inspirasi Sepanjang Zaman

By 34 minutes yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Shamsul Bahari Abdul Shukor

GEORGE TOWN, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Kejayaan menggenggam segulung ijazah di usia emas setelah bergelar nenek kepada 16 cucu menjadi momen paling bermakna buat Ibu kepada tujuh cahaya mata Norhayati Sidikah Abu Bakar.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dengan Kepujian dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini terharu menerima Anugerah Inspirasi Ibu 2025 sempena Sempena Sambutan hari Ibu Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang, di sini semalam.

Norhayati bersama suami, Muhammad Abd Razak, 67, yang banyak memberi sokongan kepadanya untuk meneruskan pengajian.

Program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Pulau Pinang itu disempurnakan oleh isteri Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Lean Kee yang juga Penaung PUSPANITA Negeri.

Norhayati Sidikah, 65, pernah mengikuti Diploma Perakaunan pada 1979 di Institut Teknologi Mara Shah Alam bagaimanapun terpaksa menangguhkan pengajian kerana kekangan kewangan keluarga.

“Meskipun pernah menangguhkan impian demi keluarga, keinginan saya untuk menyambung pelajaran tidak pernah terpadam,” katanya.

Setelah mendirikan rumahtangga pada 1980, Norhayati berhenti kerja dan mengikut suami, Muhammad Abd Razak, 67, melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Sussex, London.

Muhammad kemudian menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana dalam bidang sama di Universiti Liverpool.

“Sepanjang 40 tahun, saya memberi sepenuh perhatian dan tumpuan kepada keluarga tetapi saya sentiasa menyimpan niat untuk menyambung pelajaran.

“Selepas anak bongsu selesai konvokesyen di USM (Universiti Sains Malaysia), saya beritahu kepada suami dan anak-anak, saya ingin sambung belajar,” ujarnya.

Norhayati (empat dari kanan) bersama keluarga semasa Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Menurutnya lagi, dalam usia 60 tahun beliau ingin mencabar diri supaya tidak mudah hilang tumpuan dan menguatkan daya ingatan dengan belajar.

Beliau yang menetap di Bertam, memulakan pengajian di Pusat Pengajian Jarak Jauh, USM pada 2019 dan menerima Ijazah Sarjana Muda pada 2024.

Penglibatan aktif beliau dalam Pertubuhan IKRAM Malaysia turut mencorak pemikiran dan jati dirinya.

Norhayati turut aktif dalam bidang penulisan dan sering menyalurkan buah fikirannya melalui esei dan artikel yang menyentuh isu-isu keluarga, pendidikan dan pembangunan wanita.

Karyanya diterbitkan dalam buku Menongkah Arus yang merupakan himpunan kisah-kisah inspirasi insan-insan terpilih dalam mengharungi pelbagai cabaran.

Buku tersebut merupakan hasil penulisan ahli-ahli Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional (PENAWAN).

Kejayaan Norhayati sebagai graduan warga emas menjadi bukti bahawa kasih ibu tidak hanya mendidik dan membesarkan, tetapi turut menjadi inspirasi anak bangsa sepanjang zaman.

-ZS-

Tinggalkan komen anda