Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Minyak Kelapa Dara BONCO: Dari Rawatan Tradisional ke Pasaran Global

By 2 hari yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Florinah Lunsin/Manjin Arak (Kudat)

KUDAT, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Produk tempatan berasaskan kelapa dara bukan sahaja memberikan manfaat kesihatan, malah kini menjadi pemangkin ekonomi kepada penduduk Kampung Kimihang, Kudat.

Dihasilkan secara organik dan tempatan, Minyak Kelapa Dara Borneo Organic Natural Coconut Oil (BONCO) tercetus daripada pengalaman peribadi seorang pencipta lagu dan pemain gitar berbakat, Ronnie Onginjan, 69, dan isterinya, Jalimah Majimil.

Ronnie mempamerkan teknik mudah mengupas kelapa, langkah awal penting dalam penghasilan minyak kelapa dara.

Menurut Ronnie, idea menghasilkan minyak kelapa dara datang apabila beliau disahkan menghidap pelbagai masalah kesihatan termasuk gout, kolesterol tinggi, darah tinggi dan gastrik lebih 15 tahun lalu.

“Seorang sahabat memperkenalkan saya kepada minyak kelapa dara dan menyarankan agar saya mengamalkannya secara konsisten. Selepas beberapa ketika, saya mula merasai perubahan positif – sakit yang saya alami selama bertahun-tahun beransur pulih,” jelasnya.

“Produk ini mula diperkenalkan sejak tahun 2010, walaupun berdepan pelbagai cabaran pada peringkat awal, kami terus gigih memperjuangkan produk mereka agar dikenali di luar kampung dan daerah, seterusnya pada tahun 2011, kami menjenamakan semula produk ini sebagai BONCO, sejak itu, BONCO berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk Norway dan Perancis, selain menerima sambutan di pasaran tempatan,” katanya ketika ditemui di pusat pemprosesan BONCO di Kampung Kimihang, di sini, pada Selasa.

Imbas kembali tahun 2020, Ronnie berkata, krisis pandemik COVID-19 memberi tamparan hebat kepada operasi syarikat dengan kekurangan tenaga kerja memaksa mereka menghentikan sementara pemprosesan minyak kelapa dara.

Ronnie (tengah) dan Jalimah (dua dari kanan) bersama penulis, Florinah (kanan), di pusat pemprosesan BONCO, Kampung Kimihang, kelmarin.

“Untuk memulakan semula bukan mudah. Kami berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kekurangan bekalan kelapa kerana kebanyakan ladang telah beralih kepada tanaman sawit. Masalah serangan haiwan, kekurangan petani muda, gangguan elektrik serta bekalan air bersih turut menjejaskan operasi,” ujarnya.

Memandang kehadapan, Ronnie mempunyai rancangan untuk mengembangkan lagi perniagaannya dengan menjadikan pusat pemprosesan BONCO sebagai destinasi agro pelancongan di Daerah Kudat.

“Kami mahu pusat ini menjadi tarikan pelancong, sambil membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Harapan kami agar produk tempatan seperti ini terus berkembang dan dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa,” tambahnya.

Untuk rekod, Ronnie pernah menerima pelbagai pengiktirafan antaranya Anugerah Petani Contoh Kudat, Anugerah Usahawan Sabah, serta pensijilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia seperti MesTI dan GMP.

-RJ-

Tinggalkan komen anda