Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Nyiru Gergasi Kampung Tematu Simbol Kreativiti dan Tradisi

By 18 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto : Magdellina Alfred Jeho (Sarawak)

KUCHING, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Sebuah ‘nyiru’ bersaiz gergasi menjadi daya tarikan utama setiap kali musim perayaan Gawai tiba, hasil kreativiti Kelab Rekreasi Pengguna dan Pengurusan Dewan Serbaguna Kampung Tematu.

‘Nyiru’ atau dikenali sebagai ‘Tapan’ dalam bahasa Bidayuh Bau, merupakan alat tradisional yang digunakan untuk menampi padi selepas proses menuai. Namun begitu, kelab ini telah menaik taraf fungsinya menjadi simbol budaya yang unik dengan menghasilkan nyiru bersaiz gergasi — setinggi 8 kaki dan selebar 5 kaki — yang sering mencuri tumpuan ketika acara seperti Perarakan Niti Daun dan Bazar Gawai.

John Pata James Jumin, 54 tahun, pencetus idea Nyiru Gergasi.

Idea untuk menganyam ‘Nyiru’ bersaiz gergasi ini adalah cetusan idea John Pata James Jumin, 54, yang merupakan Pengerusi Kelab Rekreasi Pengguna Dan Pengurusan Dewan Serbaguna Kampung Tematu.

“Pada mulanya saya mengemukakan idea ini adalah bertujuan untuk mengetengahkan hasil kraf tangan bangsa Bidayuh yang pelbagai kepada masyarakat umum dan salah satunya adalah nyiru pada Karnival itu nanti. Bagi memastikan ia dapat menarik minat orang ramai saya mencadangkan agar nyiru tersebut dianyam dalam saiz gergasi ini,” kata John semasa ditemu bual semalam.

Teknik anyaman yang digunakan bagi nyiru gergasi ini adalah sama seperti nyiru bersaiz biasa, menggunakan bahan utama seperti rotan dan buluh. Namun, perbezaannya terletak pada skala pembuatannya.

Nyiru gergasi, atau ‘tapan’ dalam bahasa Bidayuh, hasil tangan penduduk Kampung Tematu yang dipersembahkan megah semasa Perarakan Niti Daun 2024.

Proses menganyam nyiru bersaiz besar ini memerlukan dua hingga tiga orang, dan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan — bermula daripada proses mencari bahan mentah, memprosesnya, sehinggalah ke penghasilan akhir.

Untuk memastikan ketahanan strukturnya, nyiru ini perlu disimpan di tempat yang kering dan terlindung daripada hujan serta cahaya matahari secara langsung.

Antara cabaran utama dalam pembuatannya ialah kesukaran mendapatkan buluh yang cukup panjang. Bagi mengatasi isu ini, buluh-buluh tersebut disambung dengan teliti bagi mencapai saiz yang diperlukan.

Nyiru gergasi ini bukan sahaja mencerminkan kemahiran tinggi dalam seni kraf tradisional, malah turut menjadi simbol kebanggaan budaya komuniti Bidayuh di Kampung Tematu.

-RJ-

Tinggalkan komen anda