
Laporan/Foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 2 Mei (MalaysiaAktif) – Pendekatan hiburan berinformasi menerusi Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku nyata memberi impak positif dalam memperkukuh semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan pelajar sekolah.

Renaldo (kanan), bersama Peter Tong, ketika ditemu bual media sempena Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku di Tawau di sini hari ini.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Konven St. Ursula, Renaldo De Lo Santos, berkata penganjuran program tersebut sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membina sahsiah pelajar yang berteraskan nilai jati diri.
“Terima kasih kepada Jabatan Penerangan kerana memilih sekolah kami sebagai lokasi Program PENTARAMA X. Program ini seiring dengan usaha KPM untuk membentuk pelajar yang berkarakter dan berjati diri. Ia juga membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar terhadap isu semasa seperti buli siber,” katanya ketika ditemu bual hari ini.
Beliau turut menekankan peranan penting Kelab Malaysiaku di sekolah itu sebagai tulang belakang kepada pelaksanaan pelbagai program patriotik, khususnya semasa sambutan Bulan Kemerdekaan.
“Ahli Kelab Malaysiaku sentiasa aktif menyampaikan mesej perpaduan dan semangat cintakan negara, sekali gus menggalas peranan sebagai duta perpaduan dalam kalangan rakan sebaya,” tambah beliau.

Kuiz Kenegaraan interaktif menguji pengetahuan pelajar tentang sejarah, Rukun Negara, dan isu semasa, sambil menyemarakkan semangat cintakan negara.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) Jabatan Penerangan Sabah, Peter Tong Ah Pin berkata, pemilihan sekolah berkenaan dibuat berdasarkan penglibatan aktif Kelab Malaysiaku serta kepelbagaian latar belakang kaum dalam kalangan pelajar.
“Salah satu objektif utama program ini adalah memupuk jati diri dan rasa cinta kepada negara dalam kalangan pelajar. Selain hiburan, kami turut menyampaikan mesej penting berkaitan isu semasa seperti keselamatan dalam talian dan pencegahan penipuan siber.

Pelajar-pelajar dengan semangat melafazkan ikrar, menunjukkan komitmen untuk menjadi warganegara bertanggungjawab dan berjiwa patriotik.
“Melalui taklimat dan persembahan lagu-lagu patriotik, kami berusaha meningkatkan semangat kenegaraan dan kesedaran sivik dalam kalangan pelajar, termasuk memberi pengetahuan asas bagaimana melindungi diri dalam dunia digital,” jelasnya.
SMK Konven St. Ursula merupakan sekolah pertama di Zon Pantai Timur Sabah yang dipilih untuk melaksanakan Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku bagi tahun 2025.
Antara pengisian program termasuk sesi pengenalan mengenai fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), penerangan tentang keselamatan siber, usaha membanteras buli dalam talian serta penekanan terhadap peranan generasi muda sebagai duta patriotisme dalam masyarakat.
-RJ-