
Laporan/foto: Shamsul Bahari Abdul Shukor
GEORGE TOWN, 1 Mei (MalaysiaAktif) – Tun Ramli Ngah Talib mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ke-9 dalam satu istiadat rasmi yang berlangsung di Dewan Sri Pinang, di sini hari ini.

Ramli (tengah) tiba di Dewan Sri Pinang bersama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah
Istiadat angkat sumpah tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zulkifli Long dan disaksikan oleh Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Datuk Law Choo Kiang serta Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Rozana Ali Yusoff.
Turut menyaksikan majlis bersejarah itu ialah Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Istiadat dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormat Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja
Ramli tiba bersama isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah pada jam 8.30 pagi dan disambut dengan Pemerikasaan Kawalan Kehormatan yang diketuai Mejar Mohd Salleh Jamal, melibatkan tiga pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum diarak masuk ke dewan.
Sebagai penghormatan rasmi menyambut ketibaan Yang Dipertua Negeri, sebanyak 17 das tembakan meriam dilepaskan.
Ramli turut menandatangani surat sumpah jawatan yang disaksikan oleh Rozana dan Zulkifli.
Dalam majlis yang sama Ramli turut dianugerahkan Darjah Utama Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Majlis angkat sumpah berakhir dengan bacaan doa oleh Mufti Pulau Pinang Datuk Dr. Mohd Sukki Othman.
Pelantikan Ramli sebagai Yang Dipertua Negeri berkuat kuasa selama empat tahun bermula 1 Mei 2025 hingga Mei 2029, menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang telah menamatkan perkhidmatan selepas satu penggal sejak Mei 2021.
Ramli sebelum ini pernah menyandang jawatan penting di peringkat persekutuan dan negeri, antaranya sebagai Menteri Besar Perak ke-8 selama 17 tahun bermula 1882 hingga 1999.
Sementara itu, Kon Yeow dalam ucapannya menyatakan komitmen penuh kerajaan negeri serta seluruh rakyat terhadap kepimpinan baharu ini.
“Pelantikan Tun sebagai Ketua Negeri Pulau Pinang yang ke-9 merupakan satu anugerah yang amat besar maknanya buat seluruh rakyat negeri ini.
”Tun memiliki rekod perkhidmatan yang amat cemerlang, termasuk pernah menerajui Perak Darul Ridzuan sebagai Menteri Besar selama hampir 17 tahun serta menyumbangkan khidmat bakti di peringkat Persekutuan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat selama lebih tiga tahun,” katanya.
Tambah Kon Yeow, keperibadian dan kewibawaan Tun Ramli mengangkat martabatnya sebagai seorang negarawan sejati.
“Saya yakin, di bawah naungan kepimpinan dan kebijaksanaan Tun, Pulau Pinang akan terus bersinar, dipandu oleh ilham serta semangat baharu ke arah masa depan yang lebih gemilang, sejahtera dan makmur,” katanya.
-AA-