
Laporan/foto: Noor Azian Saad/Armizie Hanazifs Ahmad (Pendang)
PENDANG, 4 Jun (MalaysiaAktif) – Penaung Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) Yang Maha Mulia Tuanku Hajah Haminah Haji Hamidun hadir menyampaikan sumbangan kepada 20 orang anak yatim dari Mukim Ayer Puteh, Padang Pusing/Peliang, Padang Kerbau, Bukit Raya, Rambai, Tobiar dan Guar Kepayang, di sini semalam.

Para penerima bergambar kenangan bersama Yang Maha Mulia Tuanku Hajah Haminah.
Majlis Penyampaian Kurniaan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah anjuran YAYSH berlangsung di Pejabat Daerah dan Tanah Pendang sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba.
Sumbangan yang merangkumi wang tunai, hamper dan satu set pakaian ini diserahkan kepada anak-anak yatim di daerah ini bagi mencerminkan keprihatinan dan kasih sayang terhadap golongan yang memerlukan selain sokongan moral dan material dalam meneruskan kehidupan seharian.
Pegawai Daerah Pendang Nasrun Datuk Mohd Sheriff dalam ucapannya menasihati para penerima agar tidak merasa diri serba kekurangan, sebaliknya menjadikan situasi mereka sebagai pemangkin untuk lebih berjaya dalam pelajaran dan kehidupan.

Para penerima bergambar kenangan bersama Yang Maha Mulia Tuanku Hajah Haminah.
“Anak-anak yatim adalah insan terpilih dan seharusnya mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mencapai kejayaan demi masa depan yang cerah.
“Sumbangan YAYSH tidak terhad kepada musim perayaan sahaja malah merangkumi bantuan harian termasuk semasa musim persekolahan,” ujarnya.
Nasrun turut menyeru agar lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO), syarikat mahupun individu tampil menghulurkan bantuan secara langsung kepada golongan sasar, memandangkan rumah-rumah anak yatim sedia ada telah terjamin bantuan mereka.
Turut hadir Pegawai Agama Daerah Pendang Sheikh Alwi Othman, Datin Hasimah Haji Hamidun, Nik Rozlihan Nik Ishak serta para penghulu mukim daerah Pendang.
-ZS-