
Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Nik Noor Fatin Fatihah (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI Wakaf Mempelam dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu dan Pertubuhan Generasi Pemimpin Anak Terengganu telah berjaya menganjurkan program kebajikan Cakna Jiwa Komuniti MADANI yang berlangsung di Laman Komuniti MADANI, Kampung Losong, di sini kelmarin.

Seramai 20 keluarga asnaf diraikan dalam program ini yang bertujuan meringankan beban kos sara hidup.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Wakaf Mempelam Muhammad Ashraff Wahid, seramai 20 keluarga golongan asnaf telah diraikan dalam program ini melalui penyampaian bantuan Bakul Rahmah bagi meringankan beban kos sara hidup mereka.
“Program seperti ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan terhadap masyarakat setempat, malah menjadi wadah untuk mengukuhkan ikatan silaturahim serta menyemai nilai kasih sayang dalam komuniti,” katanya.

Agihan bantuan Bakul Rahmah disampaikan terus kepada penerima dalam suasana mesra dan penuh keprihatinan.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Generasi Pemimpin Anak Terengganu Muhamad Faizal Yusri Mohd Shazali, Pengerusi Pertubuhan Amal Insani Terengganu Muslim Masri serta barisan Ahli Jawatankuasa Komuniti MADANI Wakaf Mempelam.
Penolong Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM), Jabatan Penerangan Negeri Terengganu Saharuddin Mohamed, hadir menzahirkan penghargaan terhadap usaha murni ini.
“Komuniti MADANI Wakaf Mempelam berjaya menjadi contoh kepada masyarakat dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan yang menyentuh hati dan jiwa rakyat,” ujarnya.
-ZS-