
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 11 Jun (MalaysiaAktif) – Pengurusan Bangunan Gunasama Wisma Persekutuan Johor Bahru telah menganjurkan Program Ibadah Korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, melibatkan penyertaan kakitangan daripada pelbagai jabatan dan agensi yang beroperasi di bangunan berkenaan.

Beberapa orang kakitangan Wisma Persekutuan Johor Bahru sedang melapah daging korban yang telah sampai daripada pusat penyembelihan di Surau Muhammad, Taman Tampoi Indah.
Naib Pengerusi Bangunan Gunasama Wisma Persekutuan Johor Bahru merangkap Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor Nor Nekman Jaimon, berkata program tersebut turut mendapat kerjasama erat daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Johor, Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), Ambang Wira Sdn. Bhd. serta beberapa jabatan lain di Wisma Persekutuan.
“Sebanyak empat ekor lembu dikorbankan dalam program kali ini, dengan dua daripadanya merupakan sumbangan kakitangan manakala dua lagi disumbangkan oleh YADIM Johor,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan agihan di Ruang Parkir A, Wisma Persekutuan Johor Bahru, di sini semalam.

Nor Nekman menyampaikan agihan daging korban untuk diagihkan kepada penerima yang layak.
Nor Nekman turut memaklumkan bahawa daging korban yang telah siap dibungkus akan diagihkan kepada golongan asnaf dan fakir miskin sekitar daerah Johor Bahru.
“Selain diagihkan kepada penerima di Wisma Persekutuan, kita juga telah menghubungi wakil penghuni Rumah Pangsa Larkin, Taman Sinar Harapan Tampoi dan Taman Sinar Harapan Jubli untuk mengambil dan mengedarkan daging korban kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor Dr. Mohtar Pungut@Ahmad; Pengarah Pembangunan Negeri Johor Dr. Mohd Khalid Abd. Samad dan Pengarah YADIM Johor Muhammad Ammar Abdullah.
-ZS-