Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

IPD Kota Setar Fokus Isu Scammer dan Pencegahan Jenayah Komuniti

By 17 minutes yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Syuhada Muhamad Yasin/Lyana Athirah Mohd Saad (Pokok Sena)

ALOR SETAR, 25 Jun (MalaysiaAktif) – Program Sembang Santai Komuniti MADANI Limbong yang berlangsung di Vistana Indah, di sini kelmarin berjaya menarik perhatian komuniti setempat dengan pendedahan penting berkaitan keselamatan dan pencegahan jenayah melalui dua sesi taklimat khas oleh pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Taklimat telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KBPJKK) DSP Nazaruddin Ibrahim dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kota Setar ASP Mohd Zahrin Abdul Rahman.

Sesi soal jawab bersama DSP Nazaruddin.

DSP Nazaruddin ketika menyampaikan taklimat berkaitan pencegahan jenayah komuniti, menyeru masyarakat untuk lebih peka terhadap keselamatan sekitar, menekankan pentingnya kerjasama dengan pihak polis serta mengesyorkan supaya orang ramai menyimpan nombor penting seperti IPD, Balai Polis dan Balai Bomba terdekat agar bantuan akan lebih cepat diterima.

Menurutnya, dalam usaha meningkatkan keberkesanan laporan, beliau turut memperkenalkan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat atau membuat laporan jenayah dengan hanya menghantar gambar atau video tanpa perlu ke balai polis.

“Polis bergantung kepada maklumat daripada masyarakat. Ramai yang takut untuk tampil membuat laporan tetapi dengan VSP, laporan boleh dibuat secara terus dan rahsia,” katanya.

Program ini merupakan inisiatif untuk memperkukuh hubungan antara komuniti dan pihak berkuasa melalui pendekatan santai namun padat dengan ilmu. Ia sejajar dengan semangat Komuniti Madani yang menekankan keprihatinan, keselamatan dan kesejahteraan bersama.

ASP Mohd Zahrin semasa memberikan taklimat bertajuk ‘Scammer dan Jenayah Siber’, mengingatkan penipuan kini semakin berleluasa, khususnya secara dalam talian yang menyumbang lebih 90 peratus daripada kes yang dilaporkan.

Menurutnya, tiga modus operandi utama sindiket scammer pada masa ini iaitu penipuan e-dagang, e-pelaburan dan Macau Scam, pemerdagangan manusia dengan penipuan e-dagang mencatatkan jumlah kes yang paling tinggi direkodkan setakat ini dengan lebih 200 kes melibatkan pembelian barang melalui platform yang tidak selamat di sekitar Alor Setar, manakala penipuan e-pelaburan pula sering berlaku melalui aplikasi Telegram, di mana mangsa dijanjikan pulangan terlampau tinggi.

“Bagi Macau Scam dan pemerdagangan manusia pula ia melibatkan tawaran kerja palsu ke luar negara yang akhirnya memperdayakan mangsa,” katanya.

Risalah yang diedarkan IPD Kota Setar kepada semua yang hadir.

ASP Zahrin pula menyarankan orang ramai agar hanya melabur dalam skim pelaburan yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia turut berkongsi panduan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan seperti memasang aplikasi Whoscall yang dibangunkan bersama oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan CyberSecurity Malaysia serta menyimpan nombor 997 di dalam telefon masing-masing.

“Untuk mengelak menjadi mangsa penipuan e-dagang, pembelian melalui kaedah tunai semasa penyerahan (COD) atau di platform sah seperti Shopee.

“Orang ramai agar dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan keuntungan yang tinggi dan jangan mudah panik dengan ugutan scammer (penipu), di samping mengelak berkongsi maklumat perbankan atau menyerahkan kad ATM kepada orang lain.

-ZS-

Tinggalkan komen anda