
Laporan/foto: Husney Hamid/Senaying Ahud (Hulu Perak)
GERIK, 27 Jun (MalaysiaAktif) – Program JIWA@Komuniti MADANI bagi menyampaikan maklumat dan dasar-dasar kerajaan serta menyantuni masyarakat telah diadakan di Surau Kampung Sungai Raba, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun, di sini kelmarin.
Kampung Sungai Raba, Air Banun yang terletak hampir 60 kilometer (km) dari Pekan Gerik, mengambil masa hampir sejam perjalanan menyelusuri Lebuh Raya Timur Barat merupakan perkampungan Orang Asli daripada suku kaum Jahai yang majoritinya beragama Islam, menjadi sejarah betapa pesatnya agama Islam berkembang di kawasan pedalaman.

Pendudukm Kampung Sungai Raba, Air Banun sedang mendengar ceramah agama.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Askee Ali, program sebegini amat wajar dan sesuai diadakan di kawasan pendalaman bagi memberi maklumat terkini kepada penduduk.
Askee yang mendapat pendidikan agama melalui Pejabat Pentadbiran Agama Daerah Gerik juga merupakan imam dan tenaga pengajar anak-anak Orang Asli di surau tersebut.
Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Gerik Ustaz Mohamad Arief Ramadhan Ali, berharap Jabatan Penerangan sebagai penganjur program dapat memperluaskan dalam bentuk keagamaan di perkampungan Arang Asli sekitar Daerah Hulu Perak.
“Pejabat Agama akan terus memberikan kerjasama di program akan datang bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak terpinggir dan terus didampingi untuk mendalami ilmu agama,” ujarnya ketika menyampaikan ceramah Semangat Hijrah Memupuk Insan MADANI.

Penyampaian cabutan bertuah.
Pegawai Penerangan Daerah Hulu Perak Mohammad Rosiah Ahamed amat teruja, sebak dan bersyukur kerana inilah kali pertama solat berjemaah yang diimamkan masyarakat Orang Asli,
“Hal ini, jelas menunjukkan kejayaan Jabatan Agama Islam Negeri Perak dalam mendidik masyarakat Orang Asli di pendalaman,” ujarnya ketika merasmikan program.
Mohammad juga menyarankan agar Pejabat Agama Daerah Gerik dapat memberi peluang kepada imam Orang Asli untuk membaca khutbah dan mengimamkan solat Jumaat di masjid dalam daerah Gerik.
-FN-