
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/FB Mohd Jafni Md Shukor (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 27 Jun (MalaysiaAktif) — Negeri Johor berpotensi besar menjadi hab strategik dalam pembangunan landskap negara menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan oleh kerajaan negeri dan persekutuan.

Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor perkenan melawat beberapa pameran landskap yang diadakan sempena Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2025 sambil diiringi Yang Mulia Tunku Aminah Sultan Ibrahim
Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2025 yang berlangsung dari 25 hingga 30 Jun ini membawa tema Industri Landskap Pemacu Pembangunan MADANI dan menjadi platform utama memperkukuh ekosistem landskap negara ke arah kemampanan menjelang tahun 2035.
Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor berkenan berangkat ke Majlis Perasmian HLN 2025 yang diadakan di Taman Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, semalam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dalam ucapannya, berkata HLN 2025 merupakan salah satu usaha kementeriannya dalam memperkasa industri landskap agar lebih kompetitif dan berdaya saing.

Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2025 yang berlangsung dari 25 hingga 30 Jun ini membawa tema Industri Landskap Pemacu Pembangunan MADANI
“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sumbangan industri landskap kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2024 adalah sebanyak RM39.4 bilion, meningkat berbanding RM35.68 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, memaklumkan bahawa Johor menyumbang kira-kira 87 peratus daripada keseluruhan tapak semaian di Malaysia, menjadikan negeri ini antara penggerak utama industri landskap negara.
“Johor satu-satunya negeri yang mempunyai Jabatan Landskap Negeri sendiri, dan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam merancang pembangunan landskap secara sistematik demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Datuk Asman Shah Abd Rahman.
-AA-