
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/FB Lee Ting Han (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 27 Jun (MalaysiaAktif) — Johor bakal mencatat sejarah sebagai negeri perintis pelaksanaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS), inisiatif baharu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengekang ketirisan minyak masak paket bersubsidi menerusi kaedah pendigitalan.

Armizan turut merasmikan Pelancaran Buku Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu atau Mengelirukan Dalam Talian di reruai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sistem eCOSS akan diperkenalkan secara berperingkat dengan matlamat memastikan penerimaan yang baik dalam kalangan rakyat sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
“Subsidi minyak masak tidak dikurangkan. Sebaliknya, sistem ini akan merekodkan kadar pembelian dan penggunaan antara pengguna dan peruncit secara digital untuk memastikan mekanisme kawalan yang lebih telus dan bersasar,” katanya.

Armizan berkata sistem eCOSS akan diperkenalkan secara berperingkat dengan matlamat memastikan penerimaan yang baik dalam kalangan rakyat sebelum diperluaskan ke seluruh negara
Menurut beliau lagi, eCOSS turut mengintegrasikan teknologi Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital (e-KYC) bagi pengesahan identiti pengguna yang layak menerima subsidi, menggunakan MyKad bagi warganegara Malaysia.
“Pengguna perlu memuat turun aplikasi eCOSS dan mengimbas kod QR setiap kali membuat pembelian minyak masak paket di premis perniagaan atau kedai runcit,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival KPDN 2025 Zon Selatan dan Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri KPDN Datuk Dr Fuziah Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Lee Ting Han.
-AA-