
Laporan/foto: Siti Aminah Abdullah/Norfatihah Abd Jamin (Kinta)
IPOH, 3 Jun (MalaysiaAktif) – Karnival Anak Muda ke Universiti berkonsepkan program motivasi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum melangkah ke menara gading merupakan program julung kali diadakan anjuran Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Ipoh Timur dengan kerjasama Komuniti MADANI Tebing Tinggi B bertempat di Silver Fox Futsal, Lahat, di sini kelmarin.
Program ini mendapat sambutan yang mengalakkan dan disertai hampir 200 orang pelajar berumur antara 17 hingga 19 tahun termasuk ibu bapa dan penduduk setempat.

Sesi motivasi, Howard berkongsi pengalaman beliau semasa melanjutkan pelajaran.
Menurut Pengerusi Komuniti MADANI Tebing Tinggi B Khairul Salleh Mat Isa, pelaksanaan karnival ini berjaya membina hubungan yang kukuh dan erat dalam kalangan remaja melalui pelbagai pengisian aktiviti dan modul yang amat menitikberatkan pergaulan yang positif antaranya aktiviti icebreaking, motivasi, futsal, sukaneka, cabutan bertuah dan penyampaian sumbangan kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran selain sesi beramah mesra dengan pemimpin setempat.
“Program seperti ini amat baik dalam memberi pendedahan kepada anak muda dalam bersosial. Selain iaitu, aktiviti futsal dan sukaneka dilaksanakan bagi membantu ke arah pemantapan remaja yang proaktif serta berbakat dalam pelbagai aspek.
“Pelajar yang hadir turut didedahkan mengenai keselamatan dalam talian khususnya isu scammers,” katanya.
Seorang pengunjung yang menemani anaknya yang merupakan lepasan SPM, Asratul Mehran Hassan, 40, ketika ditemu bual menzahirkan rasa bersyukur atas penganjuran program ini.
“Saya amat gembira dan bersyukur kerana program ini memberi impak positif terhadap remaja dan pertama kali diadakan di kawasan ini dan berharap program seperti ini dapat dilaksanakan lagi dimasa akan datang.
Majlis telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How yang turut menyertai slot motivasi bersama pelajar-pelajar.
-ZS-