
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang/KPDN Selangor
SHAH ALAM, 24 Jun (MalaysiaAktif) ā Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor melaksanakan pelupusan barang kes terbesar dalam tempoh lima tahun, melibatkan nilai keseluruhan mencecah RM3.5 juta.
Pelupusan ini melibatkan sejumlah 65,000 unit barangan daripada 64 kes yang direkodkan antara tahun 2024 hingga Mei 2025.
Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey, berkata barangan yang dilupuskan termasuk barang tiruan, perisian cetak rompak, barangan kawalan bersubsidi yang diseleweng serta pelbagai barangan telekomunikasi dan kenderaan.

(Dari kanan) Zuhairi dan Ravichnadran memasukkan barangan kes yang telah mendapat kebenaran untuk dilupuskan ke dalam mesin pelupusan.
āKategori barangan tertinggi dilupuskan adalah barangan penjagaan diri di bawah kes Akta Cap Dagangan 2019 melibatkan 41,000 unit.
āPelupusan ini turut melibatkan peralatan penyelewengan diesel bersubsidi seperti pam, flow meter, hos penyambung serta tangki Intermediate Bulk Container (IBC), di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan dianggarkan RM250,000,ā katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana KPDN Selangor 2025 di Stor Penyimpanan Ekshibit, Bukit Raja, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Seksyen Pengurusan Ekshibit KPDN Putrajaya Ravichandran, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Selangor Mohd Hanizam Kechek dan pegawai penguat kuasa dari seluruh negeri.
Mengulas lanjut, Zuhairi, berkata pelupusan dilaksanakan selepas kes diselesaikan di mahkamah dan mendapat kebenaran rasmi untuk dilupuskan mengikut prosedur sedia ada.
“Pelaksanaan turut mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Ekshibit dengan penekanan kepada aspek keselamatan.
“Pelupusan ekshibit ini adalah komitmen berterusan KPDN dalam memastikan barang kes yang telah diambil tindakan tidak kembali ke pasaran serta menjaga integriti dan kepentingan pengguna serta industri tempatan,” ujarnya.
-ZS-